‘Kami sedih, rasa teraniaya’

Iklan
Sebahagian 16 bekas pekerja kontrak pembersihan sekolah menunjukkan borang aduan JPP semalam.

KUANTAN - Sekumpulan 16 bekas pekerja kontrak pembersihan sekolah membuat aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di Wisma Persekutuan di sini hari ini kerana tidak berpuas hati ditamatkan kontrak tanpa sebab munasabah.

Pegawai Perhubungan Perusahaan Jaringan Pekerja Kontrak Kebersihan (JPKK) Negeri Pahang, Wan Zamzahidi Wan Zahid berkata, kebanyakan mereka kehilangan kerja sejak bermulanya kontrak baharu pada 1 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengikut kontrak baharu tersebut, pengiraan bilangan pekerja telah diubah berdasarkan bilangan murid, kepada mengikut keluasan kawasan sekolah.

"Lebih kurang separuh daripada bilangan pekerja diperlukan dan difahamkan sekitar 6,000 pekerja kontrak kebersihan sekolah di negeri ini telah kehilangan kerja.

Iklan

"JPKK Negeri Pahang membawa sebahagian daripada pekerja yang kehilangan kerja ini membuat aduan di Pejabat JPP bagi mengemukakan masalah mereka,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, bekas pekerja terbabit yang juga pasangan suami isteri dari Bukit Sagu sedih dan rasa teraniaya apabila ditamatkan kontrak tanpa notis pada 1 Jun lalu.

Iklan

Mohd Ibrahim Abdullah, 54, berkata, beliau terpaksa membuat kerja-kerja kampung bagi menampung perbelanjaan isteri dan dua anak serta tiga cucu berusia tiga hingga 20 tahun.

Katanya, sehingga kini dia dan isteri, Fatimah Che Hassan, 50, tidak mendapat sebarang pekerjaan tetap.

"Masa masih kerja gaji adalah dalam RM900, suami isteri dapat RM1,800, sekarang dah tak ada,” katanya.

Burhanuddin Abdul shukor, 42, pula berkata, selepas diberhentikan, dia kini mengambil upah memotong rumput untuk menampung kehidupan bersama tiga anak berusia lapan hingga 11 tahun.

"Kami hilang pendapatan tetap sekelip mata di saat orang lain gembira menjelang Aidiladha ini. Saya harap selepas buat aduan, nasib kami akan terbela,” katanya.

Isu melibatkan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan kontrak di sekolah timbul Januari lalu selepas JPKK menuntut Kementerian Pendidikan membela nasib pekerja dihampir 10,000 buah sekolah seluruh negara yang ditamatkan kontrak.

Isu tersebut kembali hangat apabila Persatuan Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) baru-baru ini mendakwa, kira-kira 45,000 pekerja sektor itu bakal kehilangan pekerjaan susulan format tender baharu dilaksanakan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan pada 3 April lalu berhubung permohonan peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja kontrak tersebut.