PUTRAJAYA - Tiga kementerian utama -- Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya - yang mewakili Malaysia dalam tiga tonggak utama ASEAN mengadakan mesyuarat di sini hari ini untuk meningkatkan kerjasama berkaitan ASEAN.
Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Belia dan Sukan serta wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut dijemput untuk menghadiri mesyuarat itu yang dihadiri menteri masing-masing di Wisma Putra di sini.
Tiga kementerian itu mewakili Malaysia, yang memberi penekanan kepada tiga tonggak utama ASEAN, iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio-Budaya.
"Tujuan mesyuarat ini adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kerjasama antara kementerian, agensi dan CSO kerajaan dalam mencapai objektif yang digariskan dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2025,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, yang mempengerusikan mesyuarat itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Di bawah tonggak Komuniti-Keselamatan ASEAN (APSC), kenyataan itu berkata, mesyuarat itu menekankan aspek ASEAN Centrality, dan menekankan peranan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dalam memerangi keganasan, radikalisme dan ekstremisme.
Di bawah tonggak Ekonomi ASEAN (AEC), mesyuarat itu membincangkan cara untuk mengoptimumkan dan memperluaskan integrasi serantau, meningkatkan perdagangan antara negara anggota ASEAN dan meletakkan ASEAN sebagai hab pengeluaran global.
Di bawah tonggak Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), mesyuarat itu membincangkan pentingnya memperkukuh identiti ASEAN selaras dengan hubungan budaya dan tamadun bersama dan menggalakkan pelancongan kalangan negara-negara ASEAN melalui promosi Tahun Budaya ASEAN 2019, menurut kenyataan itu.
"Mesyuarat ini juga bersetuju untuk meningkatkan penglibatan dan kerjasama antara agensi kerajaan dan CSO dalam merealisasikan komuniti ASEAN,” kata kenyataan itu.
Berikutan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok Jun lepas, pemimpin ASEAN bersetuju menubuhkan ASEAN Network of Associations di negara anggota ASEAN.
Mesyuarat itu telah mengenal pasti Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia (NOC) bagi Forum Rakyat ASEAN sebagai jawatankuasa sementara untuk menyelaras usaha bagi Malaysia. - Bernama