Rasilah tukang kasut wanita istimewa

Iklan
Rasilah (depan) dan Faridah tidak kekok menjahit kasut walaupun kerjaya itu dimonopoli oleh kaum lelaki.

ALOR SETAR - Bagi penduduk Alor Setar, deretan tukang kasut di sekitar bandar raya ini menjadi fenomena biasa sejak berpuluh tahun dahulu.

Namun, di sebalik puluhan lelaki yang menjahit kasut di Jalan Selamat di sini, terselit kelibat seorang wanita warga emas yang juga gigih melakukan kerja sama.

Iklan
Iklan

Menurut Rasilah Salleh, 63, dia baru sahaja menapak di kaki lima premis rumah kedai di jalan berkenaan tiga tahun lalu selepas berhenti menjual air.

Katanya, sebagai ibu tunggal, dia tidak mempunyai pilihan lain untuk menyara kehidupan melainkan menggunakan kemahiran berkenaan yang dipelajari daripada anak sulungnya.

Iklan

"Pada mulanya anak sulung saya, Mohd Nasir Bahadul, 40, yang mula jadi tukang kasut di sini. Lepas tu saya pun minat nak cuba dan mula belajar daripada anak saya selama enam bulan.

"Alhamdulillah sekarang saya dah pandai menjahit kasut. Walaupun pendapatan yang saya terima taklah terlalu lumayan, tapi cukup untuk penuhi keperluan saya," katanya.

Iklan
Rasilah tekun menjahit kasut pelanggannya di Jalan selamat di sini sehingga jam 6 petang.

Rasilah yang berasal dari Flat Tongkang Yard, di sini, berkata, dia biasanya mula menjahit kasut seawal jam 10 pagi sehingga jam 6 petang.

"Bila orang nampak perempuan kerja jadi tukang kasut ni, orang lebih tertarik untuk dapatkan khidmat saya. Pelanggan saya pun datang dari pelbagai latar belakang termasuk anggota polis.

"Alhamdulillah, kalau cuaca baik, saya akan dapat jahit sepasang kasut setiap satu jam dengan pendapatan RM100. Tapi kalau hujan, saya dapatlah kira-kira RM40 sehari," katanya.

Bagaimanapun, Rasilah tidak bersendirian apabila turut ditemani pekerja yang juga merupakan jirannya, Faridah Rejab, 45.

Menurut Faridah, Rasilah akan membahagikan wang yang diperolehi setiap hari dengannya.

"Saya mula kerja dengan Rasilah selepas kematian suaminya akibat kemalangan lima bulan lepas.

"Alhamdulillah, saya bersyukur diberi peluang untuk berkongsi rezeki dengan Rasilah. Saya pun masih tanggung dua orang anak yang masih bersekolah," katanya.

Faridah berkata, dia mewarisi kemahiran menjahit kasut daripada Allahyarham suaminya yang juga merupakan tukang kasut suatu masa dahulu.

"Jadi selepas hilang tempat bergantung, saya ambil alih tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan mencari rezeki di sini pula," katanya yang mempunyai anak berusia 16 dan 12 tahun.