‘DULU lain sekarang dah lain, dahulu bujang sekarang dah kahwin.’ Meminjam sebaris lirik lagu popular nyanyian seniman Allahyarham Tan Sri SM Salim memberi gambaran perbezaan zaman dahulu dan era sekarang. Merak Jalanan bercerita tentang cara orang dulu dan sekarang bercinta.
Zaman 1960-an sehingga 1970-an, surat cinta adalah medium untuk menyampaikan rasa rindu, kasih dan sayang antara dua pasangan yang berkasih. Sesi percintaan melalui telefon amat payah untuk dipraktikkan kerana sumber yang terhad.
Ikatan cinta hanya disulami melalui ayat-ayat berbunga yang dilafazkan atas helaian kertas. Kadang-kadang dalam surat cinta itu diletakkan bedak supaya bila dibuka oleh sang kekasih; surat berbau wangi.Apabila masuk era 1980-an dan 1990-an, cara pasangan kekasih bercinta mengalami evolusi. Biarpun surat-surat cinta masih mendominasi dunia percintaan, metod
komunikasi dua insan itu memasuki fasa baharu apabila penggunaan telefon semakin berkembang.
Talian telefon di rumah dan telefon awam menjadi alat komunikasi untuk meluahkan ayat-ayat cinta membuatkan hubungan cinta semakin erat serta terasa lebih dekat.
Merak Jalanan masih ingat lagi ketika belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) Shah Alam, telefon awam di asrama-asrama dan kawsan berhampiran medan selera Seksyen 2 tidak pernah sunyi daripada penggunanya.
Namun apabila era milenium datang, cara bercinta mengalami revolusi yang cukup pantas. Sistem pesanan ringkas (SMS) menggantikan surat cinta; telefon bimbit mengambil alih fungs telefon awam; sembang suara atau voice chat juga menjadi ganti kepada panggilan telefon. Tidak lagi perlu kiriman gambar melalui pos kerana mesej bergambar ke telefon bimbit hanya memakan masa dua saat.
Pendek kata teknologi terkini telah mendekatkan jarak manusia dan membuatkan silaturahim semakin rapat.