TASEK GELUGOR - Seorang bekas banduan mengamuk dengan membakar rumah keluarganya hanya kerana ibunya tidak menyediakan makanan untuknya pada jam 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian di Kampung Selamat itu disedari ibu suspek yang melihatnya menyedut minyak petrol dari motosikal menggunakan paip air dan menyimbahnya ke dinding rumah lalu membakar menggunakan pemetik api.
Menurutnya, panik dengan perbuatan anaknya, ibu suspek berusia 41 tahun mengejutkan suaminya, 63, yang sedang tidur untuk memadamkan api di bahagian hadapan rumah mereka.
"Bapa mangsa kemudiannya bergegas bangun dan memadamkan api tersebut. Berlaku pertengkaran antara kedua-dua beranak itu kerana bapa suspek menghalangnya dari terus membakar rumah mereka.
"Tiada kerosakan harta benda dan jiwa dilaporkan berikutan kebakaran kecil itu berjaya dipadamkan segera. Pasukan Forensik Bomba dan Penyelamat Kampung Selamat dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan pada hari ini," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau berkata, akibat perbuatan suspek, terdapat kesan hitam di bahagian dinding rumah dipercayai disambar api.
"Di tempat kejadian, kita menjumpai sebatang paip air dengan kesan terbakar berhampiran dinding di dalam rumah dan satu bekas air dengan kesan minyak petrol. Bapa dan ibu suspek mendakwa, dia pernah beberapa kali mengugut mahu membakar rumah dan membunuh bapanya
"Bagaimanapun, kejadian semalam adalah kali pertama suspek membakar rumah. Bapa suspek juga telah membuat laporan polis sebanyak tiga kali termasuk kejadian semalam. Laporan sebelum ini hanya laporan keselamatan diri (covering) dan bapanya tidak mahu memanjangkan kes kerana kasihankan anaknya," katanya.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati punca tindakan suspek yang baharu dibebaskan itu adalah kerana rumahnya tidak mempunyai makanan.
Katanya, suspek telah ditahan dan ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif syabu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dengan cara menggunakan minyak petrol dan membakar dinding rumah," katanya.