SETIU - Seorang ibu tunggal buntu memikirkan pendapatan untuk menyara lima anaknya selepas kematian suami dua bulan lalu.
Rahimah Lateh, 52, dari Perumahan Binjai Manis, Bandar Permaisuri di sini, berkata, sebelum itu mereka sekeluarga bergantung pada arwah suami yang bekerja sebagai pemandu bas.
Menurutnya, anak sulungnya yang berusia 22 tahun kini sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala anak kedua sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM.
"Tiga lagi anak saya masih bersekolah iaitu anak ketiga berusia 16 tahun, ke empat 15 tahun manakala anak bongsu saya pula berusia 12 tahun," katanya.
Rahimah berkata demikian ketika dikunjungi Naib Ketua Wanita Umno Setiu, Mariani Ibrahim untuk menghulurkan sumbangan mewakili Adun Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh, kelmarin.
Kata Rahimah, perbelanjaan harian mereka kini hanya bergantung kepada sedikit wang simpanan yang semakin lama makin susut.
Menurutnya, dia sangat sedih kerana tidak dapat memenuhi keperluan anak-anaknya memandangkan wang yang ada hanya cukup-cukup untuk makan sahaja.
"Simpanan yang ada hanya cukup untuk membeli makan sahaja dan itupun tidak bertahan lama,” katanya.
Tambah Rahimah, secara zahirnya mungkin orang melihat dia senang tetapi hakikatnya saban hari dia bertemankan air mata kerana kesempitan hidup.
Rahimah berkata, dia berharap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mempertimbangkan permohonanya untuk mendapatkan bantuan bulanan bagi ibu tunggal.
"Saya sudah mengisi borang sebulan lalu, dengan bantuan bulanan itu sudah tentu dapat menampung perbelanjaan harian saya," katanya .