PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Seorang guru berdepan detik ngeri diacu pistol manakala beg tangannya dilarikan dalam kejadian samun di Jalan Kota Bharu - Pasir Mas berhampiran Kampung Salor di sini hari ini.
Kejadian jam 6.40 pagi itu berlaku ketika Noraida Othman, 39, yang memandu sendirian dalam perjalanan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kelantan, Lati di sini.
Noraida berkata, dia merasakan kereta dipandunya seolah-oleh ditendang dari arah belakang sebelum menyedari sebuah motosikal mengekori rapat.
"Motosikal itu mengekori rapat kereta dan masuk ke sebelah kiri sebelum mengacukan pistol dan menyuruh saya berhenti.
"Saya yang terkejut terus memberhentikan kereta sebelum lelaki yang lengkap memakai topi keledar itu melarikan beg tangan," katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Menurutnya, beg berisi wang tunai RM300 dan dokumen diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan itu dirampas lelaki itu melalui tingkap keretanya.
"Setiap pagi, saya akan turun dari rumah di Selising, Pasir Puteh seawal jam 6 pagi sambil menghantar anak-anak ke sekolah masing-masing.
"Sudah menjadi rutin harian saya untuk membuka tingkap kereta setiap kali dalam perjalanan ke sekolah," katanya.
Noraida berkata, kejadian itu pertama kali menimpa dirinya sejak lebih sedekad berulang-alik sejauh 50 kilometer menggunakan laluan itu.
"Selepas kejadian saya cuba menahan semua kenderaan yang melalui jalan itu tapi tiada seorang berhenti memberikan bantuan.
"Kira-kira 15 minit kemudian barulah datang seorang hamba ALLAH yang berhenti dan menghulurkan bantuan," katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kelantan, Rosita Awang tanpa berselindung memuji komitmen Noraida yang disifatkan komited dalam menjalankan tugas.
"Paling lewat dia akan sampai ke sekolah jam 7.05 pagi. Walaupun rumahnya agak jauh, namun dia tetap komited dengan tugas itu.
"Saya doakan semoga ALLAH terus memberikan kekuatan kepada Noraida untuk melaksanakan amanah yang diberikan ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang mengesan suspek yang terlibat.
"Saya juga menafikan gambar seorang lelaki yang tular dikatakan sebagai suspek yang terbabit mengacu pistol kepada mangsa.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.