Pengerusi MPPK dituduh cabul, ceroboh kediaman suri rumah

Iklan
Tertuduh berbaju hitam selepas keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA TENGAH - Seorang pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di daerah ini dihadapkan ke mahkamah majistret atas dua pertuduhan mencabul dan menceroboh rumah seorang suri rumah, minggu lalu.

Tertuduh Ma'on@Yunus Abu Samah, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Iklan
Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara memegang bahu kiri dan kanan mangsa dengan niat hendak mencabul kehormatan wanita berusia 49 tahun itu di sebuah bilik air di Kampung Pulau Nibong Pengkalan Batu lebih kurang jam 1.30 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan ke atas rumah mangsa tanpa kebenaran di Kampung Pulau Nibong Pengkalan Batu lebih kurang jam 1.30 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Norfazlinda Alimad.

Terdahulu, Intan Lyiana mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Norfazlinda memohon jaminan minima dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM500 sebulan dan perlu menanggung enam orang berusia dua hingga 23 tahun.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 selain memberikan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarga.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 September depan.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan seorang pengerusi MPKK dalam daerah Melaka Tengah di sini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes menceroboh rumah dan melakukan cabul terhadap seorang suri rumah berasal dari Indonesia pada Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabul: Pengerusi MPKK direman empat hari