Premis judi talian diserbu, 70 warga asing ditahan

Iklan
Md Yusof (kiri) ketika mengetuai operasi serbuan di sebuah premis di Setia Tropika malam tadi.

JOHOR BAHRU - Polis Johor melumpuhkan satu sindiket perjudian atas talian di negeri ini hasil serbuan dan tangkapan di sebuah premis di Setia Tropika, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 10.30 malam itu adalah hasil risikan dan intipan sejak seminggu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya premis terbabit berfungsi sebagai pusat panggilan untuk mendapatkan pelanggan bagi menyertai pautan judi dalam talian.

"Selain itu ia juga dijadikan asrama untuk operator mereka bersembunyi. Sindiket ini berasal dari China dan menjadikan negara ini sebagai markas sementara daripada dikesan pihak berkuasa mereka.

Iklan

"Mereka juga menyasarkan mangsa dari China dan akan menghubungi mereka dengan menggunakan aplikasi sosial WeChat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Md Yusof berkata, serbuan berkenaan turut membawa kepada penahanan 70 warga asing dipercayai bekerja sebagai operator bagi mengendalikan operasi di premis terbabit.

Iklan

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 59 lelaki dan lapan wanita warga China bersama tiga lelaki Myanmar berusia 18 hingga 45 tahun.

"Mereka juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, polis juga bertindak merampas 99 set komputer, 108 telefon bimbit pelbagai jenama, 19 unit modem wifi serta sebuah mesin pengimbas cap jari yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Perkara 39(b) di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.