SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penyebaran video intim mengaitkan sorang menteri Kabinet sebagai berbahaya.
Katanya, Dr Mahathir menyatakan, isu video tersebut bukan soal moral sebaliknya berkaitan masalah politik.
"Sepatutnya keutamaan beliau adalah kebenaran dan moral. Jika kepentingan politik keutamaan beliau, adakah Dr Mahathir telah membiarkan negara ini dipimpin oleh orang yang tidak bermoral?
"Dahulu Dr Mahathir pernah berkata tidak akan benarkan peliwat memimpin negara. Beliau juga menyatakan Jepun maju kerana nilai dan sebab itu mereka menjadi bangsa bertamadun. Tetapi dalam kes video ini, kenapa bercanggah?" soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Mahathir menerusi catatan di blog Chedet hari ini berkata, isu berkaitan video intim tersebut akan ditangani sebagai isu politik kerana jika beliau mengambil tindakan terhadap individu yang disasarkan pihak tertentu, maka perancangan dalang terbabit telah berjaya.
"Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik," katanya.
Mengulas lanjut Mohd Puad berkata, kenyataan Dr Mahathir yang menyentuh soal kuasa yang dimiliki bagi menyingkirkan individu yang menjadi sasaran dalang memberi turut menjadi persoalan adakah beliau sanggup menyalahgunakan kuasa.
"Dr Mahathir perlu diingatkan tentang inti kepada ajaran Islam adalah akhlak. Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (Abu Hurairah R.A).
"Beliau jangan jadikan Malaysia Baharu seperti negara Edan, meninggalkan rakyat dalam kepungan api dan asap," katanya.