SSM lancar Pelan Induk Skim Kepentingan

Iklan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan Pelan Induk Skim Kepentingan yang akan memanfaatkan semua sektor ekonomi untuk menjana pendapatan perniagaan serta mendapatkan dana atau pembiayaan alternatif bagi tujuan menjalankan aktiviti ekonomi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata skim itu berdaftar dan diiktiraf di bawah ‘Financial Service Act 2013 (FSA 2013)’ sebagai satu daripada aktiviti pengumpulan deposit yang terkecuali daripada kawal selia di bawah akta itu sepertimana aktiviti terkawal di bawah Akta Pasaran Modal dan Sekuriti (CMSA 2007).

Iklan
Iklan

"Skim itu akan menjadi penyelesaian pembiayaan alternatif perniagaan dan fleksibel bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan membantu membangunkan industri sokongan.

"Pelancaran pelan induk skim ini juga menggariskan beberapa strategi pelaksanaan mampan dan bersepadu bagi mengembangkan industri skim kepentingan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2019 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, hari ini.

Iklan

Lebih 1,000 ahli komuniti perniagaan dan korporat menyertai persidangan kali kesembilan itu sejak diperkenalkan pada 2011.

Persidangan selama dua hari bertemakan ‘Future Proofing Business In The Digital Age’ itu adalah agenda tahunan SSM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak berkepentingan seperti pengamal sektor korporat serta komuniti perniagaan.

Iklan

Saifuddin Nasution berkata, persidangan kali ini memberi tumpuan kepada perubahan landskap perniagaan serta cabaran terhadap perubahan digital yang mana teknologi memainkan peranan penting dalam arus informasi, proses globalisasi dan ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, 122 notis kompaun yang dikeluarkan SSM telah menerima diskaun pengurangan kompaun secara automatik dengan jumlah sebelum potongan RM377,800.

Pengurangan kompaun secara automatik, yang diperkenalkan SSM pada awal bulan ini, telah menawarkan diskaun antara 30 hingga 85 peratus dengan nilai pengurangan keseluruhan RM278,365 daripada jumlah notis dikeluarkan itu.

Saifuddin Nasution berkata, SSM melaksanakan inisiatif itu sebagai langkah memudahkan komuniti korporat yang terlibat dapat menyelesaikan denda bayaran bagi tempoh ditetapkan dengan penjimatan kompaun diberikan.

Kadar pengurangan kompaun secara automatik itu dari satu hingga 40 hari akan menerima diskaun 85 peratus, 41-60 hari (75 peratus); 61-90 hari (60 peratus) dan 91-180 hari (30 peratus). - Bernama