Farhash persoal penahanannya berkaitan video intim

Iklan
Farhash (tengah) disambut penyokongnya di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur selepas dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

KUALA LUMPUR - Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempersoalkan penahanan remannya berhubung siasatan video intim dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet.

Menurutnya, beliau ditahan seperti seorang pembunuh yang cuba untuk diberikan hukuman berat.

Iklan
Iklan

"Keadaan saya sihat hari ini, cuma ada susut sedikit. Pesanan kepada Ketua Polis Negara, terima kasih kerana memberinya cuti (tahanan) lapan hari. Malangnya saya bukanlah Azmin (Datuk Seri Azmin Ali), seeloknya bagi Azmin yang rehat.

"Sepanjang reman, ada juga hairan mengapa saya ditahan dan bukannya Azmin," katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Farhash mengakui wujudnya politik konspirasi untuk menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sekiranya Ketua Polis Negara memiliki kredibiliti, tangkap dan soal siasat Azmin untuk siasatan.

Iklan

Sementara itu, peguam kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, Ramesh Sivakumar berkata, polis bertindak secara profesional dalam siasatan ini.

Penyokong Farhash hadir luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

"Sekiranya ada keperluan untuk panggil semula Haziq, kita akan beri kerjasama," katanya.

Hari ini, Farhash dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh remannya tamat dan dilihat keluar dari pekarangan IPD Dang Wangi kira-kira jam 3.45 petang sebelum disambut sekumpulan penyokongnya.

Beberapa minit kemudian, Haziq dilihat keluar menaiki sebuah kereta Proton Pesona.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan pembebasan tiga individu terbabit iaitu Haziq, Farhash serta seorang lagi individu, manakala seorang lagi individu merupakan ahli perniagaan yang ditangkap di Shah Alam pada 19 Julai akan tamat reman esok.

Pada 15 Julai lalu, media melaporkan Haziq bersama lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Susulan itu, keesokannya, tiga lagi individu termasuk Farhash ditahan di sekitar Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang. Seorang daripada mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.