KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, menafikan logo kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 telah diciplak daripada karya orang lain.
Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pereka grafik yang memenangi peraduan mencipta logo tersebut adalah penerima ijazah kelas pertama seni grafik dan diyakini tidak akan melakukan perbuatan tersebut.
"Orang ijazah pertama, dia tidak minat tiru-meniru ini... hanya orang yang tidak pandai lukis dia tiru sebab dia tak pandai.
"Orang yang memiliki ijazah kelas pertama, dia tidak akan memalukan diri dia dengan meniru lukisan orang lain," katanya selepas melawat Pameran Leonardo Opera Omnia di sini hari ini.
Logo TMM2020 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Pelancaran logo yang menampilkan ikon Malaysia seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna bendera Malaysia, adalah usaha pemasaran dan promosi kempen.
Logo ciptaan pereka grafik, Alfred Phua Hong Fook itu mengenepikan beratus penyertaan dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini.
Pemilihan logo yang dihasilkan Alfred telah menampilkan ikon Malaysia yang sangat sinonim iaitu burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar, serta menggunakan warna bendera Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Pereka logo TMM2020 serah pada kementerian
Bagaimanapun, sejak malam tadi, muncul satu logo yang telah diubah suai dan mendapat kritikan kononnya logo TMM2020 tidak asli kerana sama seperti imej burung enggang yang terdapat dalam satu laman web grafik Shutterstock.
Sebilangan netizen yang menyedari terdapat perbezaan antara logo asal TMM2020 dengan logo Shutterstock itu kemudiannya memadam ciapan mereka di Twitter atau komen di Facebook.
Dalam pada itu, mengenai tulisan di bawah logo yang dianggap 'berterabur', Mohamaddin menjelaskan, hanya orang yang tidak mahir berbahasa Inggeris sahaja yang menganggap sedemikian.
"Mari saya beritahu awak, saya terangkan orang yang mendalami bahasa Inggeris dan tidak mendalami bahasa Inggeris ada bezanya, kalau orang yang mendalami bahasa Inggeris apa yang ditulis itu, dia terus tahu masuk ke dalam kepala kerana dia tahu dia orang yang pintar.
"Tetapi kalau dia setakat tengok dia setakat tahu membaca, tidak masuk dalam otak dia itu orang tak pandai," katanya.
Justeru, tegasnya kementeriannya tidak akan melakukan sebarang perubahan terhadap logo berkenaan dan akan mengekalkannya.