Dewan Negara lulus tiga rang undang-undang

Iklan
Chong Chieng Jen

KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini meluluskan tiga Rang Undang-undang (RUU) iaitu Rang Undang-undang Cap Dagangan 2019, Rang Undang-undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019.

Ketiga-tiga RUU berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Iklan
Iklan

Chieng Jen berkata, RUU Cap Dagangan 2019 bertujuan membolehkan individu atau syarikat perniagaan mendaftarkan bau, bunyi, bentuk dan warna sebagai cap dagangan berbanding sebelum ini di bawah Akta Cap Dagangan 1976 yang hanya tanda nama tradisional dibenarkan seperti nama, label, tandatangan, perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya.

RUU itu juga membolehkan harta intelek digunakan sebagai instrumen kewangan, selain menambah baik prosiding tindakan sivil dan jenayah serta penguatkuasaan yang lebih efektif dengan mewujudkan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

Iklan

Ia juga membolehkan Malaysia memenuhi kewajipannya di bawah Protokol Madrid berkenaan dengan Pendaftaran Antarabangsa bagi cap, serta mendapatkan semua kelebihan dan faedah yang diberikan oleh Protokol Madrid.

Mengenai Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2019 pula yang mencadangkan pemotongan seksyen tertentu dalam Akta Perihal Dagangan 2011, diluluskan tanpa bahas.

Iklan

Sementara itu, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019, Chieng Jen berkata, ia antaranya bertujuan meningkatkan hukuman terhadap mana-mana orang yang gagal mematuhi 'award' dibuat Tribunal Tuntutan Pengguna.

Beliau berkata dari Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 2,273 kes telah difailkan menerusi tribunal itu dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,462 kes telah diselesaikan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Persidangan bersambung esok.