18 pasangan bina masjid serentak

Iklan
18 pasangan pengantin yang menyertai program Walimatul Urus Perdana di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim bergambar kenangan bersama.

PONTIAN - Seramai 18 pasangan pengantin baharu menyertai majlis pernikahan beramai-ramai anjuran Persatuan Pegawai Masjid dan Surau Daerah Pontian (PPMSDP) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, baru-baru ini.

Lebih manis lagi, empat jurunikah termasuk Datuk Nooh Gadot dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Khalil Mohd Noor menikahkan pasangan-pasangan tersebut.

Iklan
Iklan

Setiap pasangan hanya membayar RM1,990, manakala kos selebihnya ditanggung oleh PPMSDP dan majlis turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 2,000 ahli keluarga pasangan terlibat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, Aminolhuda Hassan ketika merasmikan majlis tersebut menyifatkan langkah yang diambil oleh PPMSDP amat baik sekali.

Iklan

Katanya, pendekatan seperti itu membantu mereka yang menghadapi kekangan kewangan bagi menyediakan kos perkahwinan dapat melangsungkan hari bersejarah bersama pasangan masing-masing.

"Program seperti ini perlu diadakan di setiap daerah supaya lebih ramai pasangan Islam yang ingin berumah tangga tetapi menghadapi dengan masalah kewangan dapat dibantu,” katanya ketika merasmikan Walimatul Urus Perdana di sini, semalam.

Iklan

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dan Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman.

Aminolhuda berkata, kerajaan negeri sedia membantu bagi menyalurkan sumbangan sekiranya mempunyai peruntukkan kepada mana-mana pihak yang sedia menjadi penganjur majlis seumpama itu.