Pas kutuk serangan terbaharu Israel

Iklan
Abdul Hadi

MARANG - Pas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbaharu rejim Israel mengerahkan tenteranya untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin di perkampungan Sur Baher, Wadi al Hummus, Timur Jerusalem, Palestin.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ratusan tentera Israel berserta jentera berat telah mula meroboh kediaman rakyat Palestin walaupun mendapat tentangan daripada kerajaan Palestin dan masyarakat antarabangsa.

Iklan
Iklan

Katanya, Mahkamah Tinggi Israel telah meluluskan permohonan Tentera Israel untuk merobohkan kediaman rakyat Palestin dan bermulanya perobohan kediaman rakyat Palestin yang terbesar dalam sejarah semenjak tahun 1967.

"Alasan keselamatan digunakan Israel untuk merobohkan kediaman rakyat Palestin di perkampungan tersebut tidak boleh diterima, memandangkan telah diketahui umum bahawa pencerobohan tanah dan kediaman penduduk Palestin oleh Israel adalah untuk meluaskan kawasannya dan membina penempatan haram," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Iklan

Terdahulu, Tentera Israel pada Isnin mula bertindak merobohkan puluhan bangunan di Baitulmaqdis, mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa, lapor agensi berita Anadolu memetik penduduk tempatan.

Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu berkata, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) membantah perobohan tersebut, Israel tetap angkuh dan melaksanakannya.

Iklan

Katanya, jelas Israel sekali lagi melanggar perjanjian ditandatanganinya di Oslo, Norway pada 1993 dengan menceroboh kawasan pemerintahan Kerajaan Palestin dan Resolusi 446 PBB yang melarang Israel menceroboh, membina dan memindahkan penduduk Isreal ke wilayah Palestin.

Sehubungan itu, Pas mendesak OIC dan Liga Arab agar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan campur tangan dalam pencerobohan kediaman rakyat Palestin di wilayah berkenaan.

"Pas juga turut mendesak agar negara-negara Islam memberikan sokongan padu dan berdiri teguh bersama Palestin dan rakyatnya dari kekejaman rejim Israel.

"Dunia harus bertindak di atas kekejaman Israel dan mengenakan sekatan sama ada politik mahupun ekonomi terhadap rejim Israel.

"Sudah sampai masanya dunia bertindak membela nasib rakyat Palestin. Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak tegas ke atas rejim Israel," katanya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai resolusi dan tekanan dikenakan terhadap rejim Israel, namun mereka tetap meneruskan agenda mereka kerana dilindungi oleh beberapa negara kuasa besar dunia.

"Dunia perlu bersatu melabelkan Israel sebagai negara pengganas. Mereka membunuh, merogol, menghalau warga Palestin dari negeri mereka tidak kira kanak-kanak, wanita atau warga emas.

"Hanya pengganas sahaja yang mampu dan berupaya berbuat demikian. Sampai bilakah kita sebagai negara dan umat Islam pejam mata dan membiarkan Israel bertindak demikian?

"Selagi mana Islam dan umatnya tidak bersatu padu dan berpegang dengan ajaran agamanya, selagi itulah Islam dan umatnya lemah dan akan diperkotak-katikkan oleh musuh-musuhnya," katanya.