18 pakar pengkaji sejarah Melaka berhimpun di Melaka in Fact

Iklan
Abdul Razak (kiri) dan Wan Nor Azriq bercakap mengenai Usaha dan peranan yang dimainkan Melaka in Fact.

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya satu persidangan menghimpunkan pakar pengkaji sejarah terkemuka antarabangsa akan diadakan dengan fokus Melaka pada abad ke-15.

Persidangan hasil inisiatif Melaka in Fact, sebuah badan komuniti pencinta sejarah Melaka ini merupakan persidangan tertutup yang akan disertai sekurang-kurangnya 18 pakar pengkaji sejarah antarabangsa yang khusus dalam kajian sejarah Melaka.

Iklan
Iklan

Penyelaras Media Sosial Melaka in Fact, Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, berkata keistimewaan persidangan ini apabila ia turut melibatkan pakar dari negara China, India dan juga Timur Tengah yang selama ini kaitannya tidak begitu menonjol dalam sejarah Melaka.

Menurutnya, persidangan itu nanti akan menjadi platform bagi mengumpul kajian terbaharu yang dibuat oleh sarjana-sarjana terlibat berdasarkan sumber yang sedia ada dan juga sumber yang mungkin tak ramai yang tahu.

Iklan

"Biasanya apabila bercakap mengenai sejarah Melaka ini kita merujuk kepada sumber-sumber teks sejarah melayu, Hikayat Hang Tuah ataupun banyak dari sumber Eropah, sejarah orang Portugis yang paling utama.

"Melaka didatangi oleh pedagang-pedagang serata dunia. Dari sumber Timur Tengah itu sendiri kita jarang betul-betul merujuknya. Itu yang istimewa juga persidangan sejarah yang akan pada 2 hingga 4 ogos ini apabila kita kumpul kajian dari sumber yang tak ramai orang tahu seperti Turki, Parsi, Jepun, juga zaman Dinesti Ming di China.

Iklan

"Pelbagai kertas kerja akan dibentangkan antaranya yang turut mengaitkan Undang-undang laut Melaka sebagai Undang-undang Islam pertama yang digunakan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Wan Nor Azriq, hasil daripada persidangan yang membincangkan pelbagai aspek termasuk ekonomi dan budaya itu nanti akan disebarkan melalui platform media sosial dan laman sesawang Melaka in Fact.

"Maklumatnya kita akan sebar luas. Melaka in fact yang akan gerakkan, kaedahnya itu akan diumumkan. Tapi kita memang tidak mahu ia berhenti di situ kerana itu memang matlamat kami iaitu untuk kumpul dan sebarkan apa-apa hasil kajian atau apa-apa dapatan terbaru tentang sejarah Melaka," katanya.

Sementara itu, Pengurus Sumber Platform Digital Melaka in Fact, Abdul Razak Bahrom berkata, persidangan yang bakal berlangsung itu hanya salah satu daripada inisiatif berterusan yang dibuat Melaka in Fact.

Katanya, sepanjang dua tahun penubuhan Melaka in Fact, pelbagai bentuk sejarah dapatan terbaharu diperolehi hasil wawancara bersama komuniti yang turut disebarkan melalui penganjuran pameran rakyat dan juga pembangunan pemetaan budaya.

"Kerjasama juga dibuat dengan pelbagai agensi termasuk Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), dan juga Google Art & Culture dalam usaha mengumpul bukti sejarah dan memaparkan cerita-cerita sejarah Melaka yang diperoleh.

"Kita juga melaksanakan program Tawarikh Talk iaitu syarahan sejarah yang dibuat setiap bulan di Kuala Lumpur dan Melaka dengan topik yang berbeza dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan," katanya.