NUFAM persoal lantikan Morgan Stanley sebagai perunding MAB

Iklan

KUALA LUMPUR - Kesatuan sekerja Malaysia Airlines Bhd (MAB) mempersoalkan pelantikan Morgan Stanley sebagai perunding strategik untuk menimbang pilihan bagi syarikat penerbangan itu, termasuk potensi penjualan pegangan.

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mempertikaikan sama ada bank pelaburan tersebut mengetahui segala perkara berkaitan kakitangan MAB dan meluahkan kebimbangan bahawa Morgan Stanley akan mencadangkan langkah pembuangan pekerja antara lainnya.

Iklan
Iklan

"Malaysia Airlines kini menghadapi defisit kepercayaan daripada rakyat. Kerajaan mesti melakukan tindakan yang sewajarnya untuk menyelamatkan syarikat penerbangan yang baru disusun semula itu dan mengubah cara ia menjalankan operasinya.

"Khazanah Nasional (pemegang saham tunggal MAB) tidak boleh terus pergi kepada perunding tersebut setiap kali untuk mendapatkan bantuan (dalam usaha membantu syarikat penerbangan itu kembali meraih keuntungan).

Iklan

"Apa yang mereka akan tahu dan berapa banyak kos pembayar cukai kali ini. Mengapa tidak menggunakan khidmat kepakaran tempatan kami? Adakah kita benar-benar kurang tenaga pakar penerbangan tempatan?

"Setiap kali kita mendengar ada rancangan untuk menyusun semula Malaysia Airlines, mereka akan memanggil pelbagai pihak,” kata sekretariat kesatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

NUFAM berkata keputusan Khazanah Nasional Bhd membuang 6,000 pekerja dan mengurangkan laluan antarabangsa sebelum ini adalah kesilapan yang tidak harus diulang.

Menurut kesatuan itu, jumlah kakitangan bukannya terlebih, tetapi hakikat sebenarnya adalah Malaysia Airlines kekurangan pekerja dalam operasi hariannya, sambil satu pasukan khas perlu ditubuhkan bagi mengenal pasti kerugian kewangan syarikat penerbangan tersebut dan menyelesaikannya.

"Cara terbaik untuk menyelamatkan MAB sekarang bukannya dengan mengupah khidmat syarikat perunding yang mengenakan bayaran yang mahal. Ia tidak memerlukan seorang pakar untuk mengetahui apa yang berlaku di MAB ketika ini.

"Syarikat asing tidak akan tahu masalah sebenar sentimen kakitangan. Kami bimbang mereka akan mencadangkan pembuangan beribu-ribu pekerja sama seperti sebelum ini," kata kesatuan itu.

NUFAM berkata kerajaan mesti segera menghentikan kerugian setiap hari Malaysia Airlines dan menambahbaik pengurusan syarikat penerbangan itu serta menetapkan hala tuju yang betul.

"Malaysia Airlines kerugian RM3 juta sehari dan kerugian itu tidak akan berhenti jika kerajaan lambat dalam membuat keputusan," kata kesatuan itu.

Nufam mencadangkan MAB ditempatkan dalam syarikat tujuan khas di bawah Pejabat Perdana Menteri, manakala gaji pengurusan tertingginya harus dikaji semula dan menghapuskan kontrak-kontrak yang bertimbun.

"Terdapat juga banyak pembaziran di MAB, kami diberitahu beberapa tempahan dibuat untuk pesawat dan alat ganti terlebih caj.

"Jika perkara-perkara ini adalah benar, maka kerajaan perlu bertindak dengan membentuk pasukan petugas untuk mengenal pasti isu-isu ini dengan segera.

"Penjualan syarikat penerbangan itu juga merupakan satu lagi perkara, sama ada pembeli baharu sanggup mengambil alih pelbagai isu dan hutang di MAB," kata NUFAM. - Bernama