Sultan Abdullah kukuh amalan Raja Berperlembagaan

Iklan
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini diharap terus memperkukuh amalan Raja Berperlembagaan di negara ini.

Budayawan dan pengamal undang-undang Tan Sri Dr Rais Yatim berkata amalan itu yang mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol kedaulatan tertinggi negara pada masa sama turut diimbangi dengan peranan rakyat.

Iklan
Iklan

"Sistem Raja Berperlembagaan bukan seperti zaman sebelum merdeka yang mengamalkan pemerintahan ‘beraja di hati, bersultan di mata’ yang bermaksud raja menurut kehendak nafsu sendiri.

"Raja Berperlembagaan berdasarkan prinsip Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri (lazimnya Perdana Menteri) serta berdasarkan peruntukan undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

"Amalan sistem ini dapat mengimbangi kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah dan rakyat selaku yang diperintah. Peranan timbal balik antara kedua-duanya (raja dan rakyat) amat penting dalam meneruskan tradisi ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nadi rakyat

Iklan

Menyifatkan pertabalan Yang di-Pertuan Agong merupakan hari kebesaran negara dan melibatkan seluruh rakyat, Rais turut mengulas mengenai peribadi, peranan serta sistem raja atau kedirajaan dan takhta baginda.

Rais yang juga bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan berkata pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan kehendak rakyat berdasarkan peribadi baginda yang mesra, mudah bergaul dan prihatin terhadap semua golongan.

"Keterbukaan baginda mendampingi rakyat amat jelas dan perkara ini adalah sangat baik. Kita sebagai rakyat berharap agar baginda dapat melihat apa-apa kekurangan atau perkara yang tidak enak berlaku dalam masyarakat serta mampu menyuarakan pandangan demi kemaslahatan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Semoga Yang di-Pertuan Agong dapat menggunakan pengaruh baginda bagi menjaga keadilan sosial, ketenteraman dan kesejahteraan awam. Baginda juga mesti dilihat sebagai penasihat utama dalam mengimbangi kuasa politik agar tidak disalahguna oleh mana-mana pihak yang dikhuatiri boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Bahasa, adat Melayu

Dalam situasi semasa hari ini kata Rais, isu kos sara hidup, perkembangan Bahasa Melayu serta adat istiadat orang Melayu merupakan antara yang perlu diberi perhatian.

"Ketika ini saya lihat bahasa Melayu yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sering kali dalam keadaan terumbang-ambing dan boleh dikatakan sebagai bahasa ‘sekerat ular sekerat belut’ kerana adanya pengaruh dan ‘himpitan’ bahasa Inggeris yang begitu kuat.

"Kita tidak menyalahkan pengggunaan bahasa Inggeris. Masyarakat Cina dan India pun belajar bahasa Inggeris tetapi apabila bertutur dalam bahasa masing-masing mereka tidak sewenang-wenangnya mencampur-adukkannya dengan bahasa Inggeris. Ini berbeza dengan orang Melayu yang dalam setiap ayat ada sahaja ungkapan Inggeris yang digunakan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata perkara itu penting untuk ditegaskan kerana dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan orang Melayu mestilah beragama Islam, bertutur menggunakan Bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu.

"Jika disebut ‘bahasa jiwa bangsa’ memang sedap, tetapi adakah bahasa Melayu jiwa orang Melayu hari ini?

"Kita mengharapkan agar Yang di-Pertuan Agong dapat memainkan peranan sebagai penghulu bangsa dengan membawa beberapa azam dan perbuatan diraja yang mampu memberi gambaran tinggi bukan sahaja terhadap institusi Raja Berperlembagaan bahkan menjamin bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan selain memelihara warisan dan adat istiadat Melayu.

"Di samping itu, Perkara 153 turut memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta hak kaum lain mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.

Sistem giliran unik

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Mahadee Ismail berkata Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja sebagai ketua negara bahkan Ketua Agama Islam serta simbolik kepada teras perpaduan masyarakat berbilang etnik di negara ini.

Jelasnya, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia yang mengadaptasi sistem Raja Berperlembagaan berikutan jawatan tertinggi negara itu adalah merupakan sistem giliran untuk kesemua sembilan sultan dan raja Melayu.

"Giliran merupakan kaedah terbaik dalam memberi keadilan dan peluang yang setara kepada raja-raja di Malaysia menjawat jawatan Ketua Negara yakni Yang di-Pertuan Agong.

"Melalui kaedah ini ia secara langsung menonjolkan kepada dunia ciri-ciri unik sistem pemerintahan di Malaysia bagi menentukan Ketua Negara. Kaedah sebegini tidak terdapat ataupun diamalkan di mana-mana negara lain di dunia selain merupakan satu bentuk kelestarian dan kesinambungan unggul sistem Raja Berperlembagaan,” katanya.

'Waadat' raja, rakyat

Mohd Mahadee menambah, Sultan Abdullah diharap akan terus menjadi pemacu kepada model pemerintahan terbaik berlandaskan syariat Islam seperti mana yang digariskan oleh Majlis Raja-Raja serta perkara-perkara lain yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Rakyat pula pada masa sama harus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda dan negara seperti mana yang ditekankan dalam prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Menurut beliau, penghayatan kepada prinsip itu menjadi suatu bentuk keseimbangan dalam sistem Raja Berperlembagaan di mana raja itu berdaulat dan rakyat tidak boleh menderhaka.

"Raja wajib menjalankan pemerintahan dengan adil dan saksama manakala rakyat wajib memberi kesetiaan serta sumbangan terbaik bagi kemajuan negara berdasarkan kapasiti, kepakaran dan kemahiran masing-masing.

"Perkara ini telah menjadi suatu ‘waadat’ (perjanjian) seperti mana yang diriwayatkan dalam Sejarah Melayu iaitu waadat antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun - sumpah setia antara Sang Sapurba (Raja Melayu) dan Demang Lebar Daun (orang Melayu) agar tidak derhaka kepada raja manakala raja pula tidak menghukum rakyat secara zalim dan menghina.

"Rakyat juga perlu mengelakkan daripada membuat kritikan terbuka terhadap institusi beraja yang menjadi penaung rakyat lebih-lebih lagi melalui platform media sosial. Zaman berubah, kerajaan pun berubah, namun tidak semua perkara perlu diubah kerana raja itu pemerintah dan rakyat pula yang diperintah. Raja itu penaung, rakyat pula orang yang dinaung dan raja itu berdaulat rakyat tidak boleh menderhaka,” katanya.

Rapatkan jurang

Turut menyentuh mengenai ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ yang pada pendapatnya perlu kembali disemarakkan bagi membentuk hubungan utuh antara raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dengan rakyat, Mohd Mahadee berkata ia boleh dilaksanakan dengan cara mengurangkan jurang antara kedua-duanya.

"Dahulu ungkapan itu cukup sinonim kerana raja begitu dekat dengan rakyat. Rakyat boleh pergi mengadap raja sendiri, berkongsi atau mengadu masalah mereka kepada wakil raja atau pihak pemerintah. Namun kini kedudukan raja itu dilihat semakin lama semakin jauh dengan rakyat. Tidak semudah dahulu untuk mengadap raja.

"Situasi semasa mungkin menyumbang kepada perubahan ini selain beberapa faktor lain yang turut membataskan hubungan antara raja dan rakyat. Namun begitu, institusi raja boleh mengambil inisiatif untuk lebih kerap bersama rakyat umpamanya turun padang melihat sendiri permasalahan serta mendalami susah senang nasib rakyat,” katanya.

Menerusi beberapa isu yang tular mengenai peribadi Sultan Abdullah yang gemar menyantuni, bergaul dan mengambil berat isu rakyat, beliau berkata ia menunjukkan perkembangan baik dalam usaha mengembalikan hubungan akrab antara raja dan rakyat.

"Rakyat juga jangan lupa, mereka perlu meletakkan rasa hormat yang tinggi terhadap kedudukan baginda dan menghormati konsep pemerintahan institusi beraja.

"Tindakan segelintir pihak yang gemar mencabar dan memperlekehkan institusi beraja di negara mungkin disebabkan faktor tidak tahu atau tidak mahu memahami sejarah di samping tidak mempunyai nilai patriotik sehingga gagal menghormati sistem yang sememangnya telah lama diadaptasi oleh majoriti rakyat negara ini,” katanya.

Ruangan sisi

Sultan Abdullah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai dalam satu istiadat gilang-gemilang yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara dan menariknya, ia diadakan pada Hari Keputeraan baginda.

Pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong mencatat sejarah dalam amalan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen kerana pemilihan baginda diputuskan hanya dalam tempoh kurang seminggu selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang ke-6 pada 15 Jan lepas.

Majlis Raja-Raja pada 24 Jan pula, sepakat memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019.

Pemilihan itu dibuat susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Jan 2019.

Sistem penggiliran pelantikan Yang di-Pertuan Agong adalah berdasar kekananan takhta pemerintahan bermula dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak yang berakhir pada 1994.

Konvensyen itu terus dijadikan panduan dalam penggiliran kedua yang menyaksikan enam daripada sembilan raja-raja Melayu ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, dan meletakkan nama Sultan Abdullah sebagai calon yang dijangka menaiki takhta tertinggi negara dalam penggiliran kali ini.

Sultan Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj pada 6 Mac 1986 dan dikurniakan empat orang putera dan lima orang puteri. - Bernama