Ikan kita milik orang asing

Iklan

SUMBER perikanan negara kena curi bukanlah cerita baharu. Namun sejak akhir-akhir ini kejadian pencerobohan kian berleluasa.

Nelayan asing terutamanya dari Vietnam begitu bermaharajalela di Laut China Selatan terutamanya membabitkan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Iklan
Iklan

Di perairan Selat Melaka dan Laut Sulu, pencerobohan turut berlaku melibatkan nelayan asing Indonesia, Thailand dan Filipina tetapi tidak seteruk di kawasan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi dalam satu kenyataan berkata, stok ikan laut di Semenanjung Malaysia kini berada pada zon merah (kritikal) dan perlukan pemulihan segera.

Iklan

Apa punca nelayan asing Vietnam berani menceroboh? Mereka seolah-olah tidak serik walaupun tangkapan dibuat banyak kali oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia dan turut dibantu Jabatan Perikanan Malaysia.

Pertamanya, ikan-ikan gred A seperti merah, jenahak, kerisi, kerapu, ibu gelama, sotong termasuk gamat mendapat permintaan tinggi di Vietnam. Spesies ini dahulunya mewah di perairan mereka namun telah pupus disebabkan kerakusan nelayan-nelayan negara itu menangkap ikan menggunakan kaedah pukat tunda.

Iklan

Seterusnya mereka mengambil peluang menangkap ikan di perairan negara yang luas terutama di kawasan pelantar minyak gas milik Malaysia yang bersempadan dengan Vietnam.

Nelayan asing Vietnam ini kemudian terus mara hingga menangkap ikan di unjam-unjam milik nelayan tempatan dan juga berani menangkap ikan sehingga ke Johor.

Buktinya pada 18 Julai lalu, APMM Zon Maritim Tanjung Sedili menahan 24 nelayan asing termasuk dua tekong warga Vietnam di kedudukan lebih kurang 19 batu nautika di tenggara perairan Pulau Aur di Johor.

Rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM6.4 juta termasuk kedua-dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan bahan bakar.Jika pembaca merasakan betapa beraninya mereka meninggalkan tanah daratan Vietnam hingga sampai ke Johor untuk menangkap ikan, nelayan asing Vietnam ini sebenarnya turut bergerak lebih jauh hingga ke Indonesia, Filipina, China dan Australia. Kekangan aset

Bercakap mengenai penguatkuasaan, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, kekangan aset bersaiz besar menyebabkan pihaknya bergantung kepada sebuah kapal induk KM Pekan berpusat di Kuantan untuk mengawal perairan Laut China Selatan.

Kapal hadiah daripada kerajaan Jepun itu hanya mampu beroperasi sekitar 14 hingga 20 hari di laut. Tempoh singkat itu membataskan operasi berada lama di laut kerana perlu kembali ke pangkalan untuk tujuan pengisian bekalan, bahan bakar dan sebagainya.

Faktor itu juga menjadi punca nelayan asing begitu berani dan agresif sehingga sanggup mencabar anggota penguatkuasa.

Pada 9 Julai lalu kira-kira 97 batu nautika dari Kuala Tok Bali, Kelantan, satu daripada dua bot nelayan asing Vietnam telah bertindak agresif dengan beberapa kali melanggar KM Pekan selain menjatuhkan pukat dalam usaha menghalang pergerakan KM Pekan daripada menahan mereka.

Sikap biadab nelayan asing Vietnam ini menyebabkan kru KM Pekan yang diketuai Pegawai Memerintah, Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik mengambil masa empat jam sebelum berjaya memintas bot berkenaan.

Nilai rampasan dalam operasi itu mencecah RM1.5 juta merangkumi bot, peralatan menangkap ikan, sotong yang dikeringkan termasuk tangkapan ikan seberat 1.05 tan.

Dalam menangani pencerobohan nelayan asing, kerajaan perlu segera bertindak termasuk mengambil serius bantahan lebih 300 nelayan Pantai Timur yang mengadakan demonstrasi di hadapan Parlimen di Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.

Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap tauke bot tempatan yang meng‘alibaba’kan lesen bot mereka kepada nelayan Vietnam, termasuklah mengheret mereka ke mahkamah berbanding sebelum ini hanya membabitkan tekong dan awak-awak bot ditahan. Bot yang dirampas ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan.

Kerajaan juga perlu menambah aset seperti bilangan kapal dan bot peronda serta sudah tiba masanya agensi penguat kuasa menggunakan khidmat pesawat tanpa pemandu bagi tujuan risikan melalui udara.

Sekalung penghargaan kepada semua agensi penguat kuasa yang cukup komited melaksanakan tugas menjaga perairan negara termasuk di Sabah dan Sarawak agar stok ikan negara tidak dikaut oleh nelayan asing.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penolong Editor Sinar Harian