BAIK wanita mahupun lelaki, penampilan perlu sentiasa dititikberatkan tanpa mengira masa dengan seleksi pakaian tertentu.
Perkara tersebut diakui oleh Perunding Imej, Syaheerah Hanis Che Kamarudin.
Menurut beliau, sebelum tidur individu perlu memastikan aspek kebersihan.
"Usah mengabaikan kebersihan pada wajah dan badan. Pastikan diri sentiasa memakai pakaian bersih dan wangi supaya mendapat kualiti tidur terbaik,” katanya.
Tambah beliau, kebersihan dan kecantikan bukan untuk ditayang atau mahukan pujian semata-mata. Sebaliknya, inisiatif itu dilakukan adalah untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Dalam pada itu, selain pemakaian terdapat beberapa perkara utama yang wajar dilakukan sebelum tidur:
1) Kamar tidur
Sebelum atau selepas bangun tidur pastikan anda mengemas katil dan mengumpulkan baju yang perlu dicuci.
Jangan sesekali melonggokkan baju kotor terlalu lama di dalam bilik kerana ia akan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.
Pada setiap hujung minggu pula buka jendela bilik untuk aliran udara dan pendedahan cahaya matahari.
2) Produk wajah
Selepas mencuci wajah oleskan serum dan krim malam bagi membantu menganjalkan dan menegangkan kulit wajah untuk kekal awet muda.
Bagaimanapun, setiap pemilihan produk wajah perlu bersesuaian dengan kondisi kulit wajah untuk mengelakkan kesan sampingan.
Bagi golongan jejaka yang mencari produk wajah ideal, anda hanya perlu mengunjungi butik kecantikan atau farmasi yang menawarkan rangkaian set penjagaan wajah dalam pelbagai jenis kulit.
3) Salap bibir
Sapukan pelembap bibir untuk mengelakkan ia merekah dan kering.
4) Minum air putih
Minum segelas gelas air putih sebelum tidur membantu meningkatkan metabolisme tubuh, melancarkan detoksifikasi dan membakar kalori.
Pada masa sama, ia melindungi badan daripada dehidrasi dan melawaskan sistem pencernaan. Namun begitu, jangan minum air secara berlebihan kerana akan menyebabkan anda kerap bangun untuk membuang air kecil.