Kapten Bos Gaurus gementar!

Iklan
Shahrul Saad - Foto stadiumastro

KETUA pasukan Perak, Shahrul Mohd Saad mengakui sedikit gementar dan memerlukan latihan rapi untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA 2019 menentang Kedah di Stadium Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Beliau berkata, bagaimanapun perasaan itu bukan satu halangan besar buat dirinya dan rakan sepasukan yang lain untuk berjuang bermati-matian sekali gus membawa pulang trofi berkenaan ke Perak.

Iklan
Iklan

"Perasaan gementar ini lumrah buat mana-mana pemain bola sepak namun bagi saya, kita perlu fokus daripada sudut mental dan fizikal untuk mengharungi perlawanan itu.

"Buat masa sekarang, persiapan pasukan berada pada tahap terbaik cuma beberapa aspek terutama di bahagian serangan dan pertahanan perlu diperkemaskan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Iklan

Selain itu, Shahrul percaya jurulatih, Mehmed Durakovic akan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan berkenaan memandangkan semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan.

"Semua pemain termasuk pemain import bebas daripada kecederaan dan penggantungan. Ini sememangnya satu kelebihan serta membantu jurulatih menyediakan barisan terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya.

Iklan

Sementara itu, pemain pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan berkata, jika skuad The Bos Gaurus berjaya merangkul trofi berkenaan, ia bakal menjadi hadiah bermakna buat dirinya yang menyambut ulang tahun kelahiran semalam.

"Hadiah selaku juara piala FA itu memang penting. Kalau dapat bawa balik piala itu ke bumi Perak, ia sememangnya akan jadi hadiah terbesar bagi saya selaku pemain bola sepak profesional," katanya.

Dalam pada itu, bekas tonggak kebangsaan tersebut turut menganggap aksi perlawanan akhir Perak dengan Kedah akan berlangsung seimbang berdasarkan beberapa rekod pertemuan sebelum ini.

"Kami sudah banyak kali bertemu di Liga Super, jadi dekat situ kami dapat belajar masing-masing punya cara. Saya juga harap, kami dapat baca permainan mereka dengan baiklah dalam perlawanan akhir itu nanti.

"Selain itu, jurulatih pun sudah beritahu macam mana (strategi) nak kekang asakan daripada pemain-pemain mereka," katanya. - Bernama