BATU PAHAT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan memantau kawasan sekitar Sungai Bengkal di sini susulan tular di media sosial kelibat seekor buaya di sungai tersebut.
Pengarahnya, Salman Saaban berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi berkenaan penemuan reptilia tersebut, namun sedar isu itu telah menjadi tular di media sosial terutama di Facebook sejak semalam.
"Perhilitan Batu Pahat telah meninjau ke lokasi tetapi tiada kelibat buaya kelihatan ketika tinjauan dibuat. Saya menasihatkan orang ramai tidak perlu bimbang kerana buaya ini tidak mengancam keselamatan dan kawasan sungai tersebut memang habitatnya.
"Saya juga menasihatkan orang ramai atau penduduk kampung agar tidak melakukan provokasi atau mengganggu buaya tersebut sehingga menyebabkan ia bertindak agresif selain tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, Perhilitan tidak pernah memandang ringan mengenai keselamatan penduduk di kawasan tersebut dan bersedia untuk melakukan tindakan sewajarnya sekiranya keperluan mendesak.
Menurutnya, pihaknya akan terus memantau kawasan tersebut terutama pada waktu kebiasaan buaya timbul di tebing untuk 'memanaskan' badan namun tiada keperluan untuk memasang perangkap di sungai berkenaan.
"Kami akan terus pantau lokasi ini demi keselamatan orang ramai dan juga kebajikan haiwan itu sendiri. Jika didapati reptilia ini mengancam nyawa manusia kita akan pasang perangkap, tapi jika dikatakan nampak kelibat saja, tidak perlu pasang perangkap kerana sungai memang habitat semula jadi reptilia ini,” katanya.
Semalam, tular rakaman video berdurasi 44 saat menunjukkan seekor buaya sedang ‘bersidai’ di tebing Sungai Bengkal di sini yang didakwa turut menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.