SHAH ALAM - Unit Pemantauan Isu Hina Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan warganet di negara ini supaya tidak berkongsi status menghina Nabi Muhamad SAW oleh pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong.
Jakim dalam kenyataannya berkata, jika status itu masih lagi dikongsikan di mana-mana platform komunikasi, ini bermakna pihak berkenaan telah menjadi penyebar kepada penghinaan Nabi SAW.
"Jakim menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara ini selaras dengan inisiatif pihak kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara Rahmah,” kata kenyataan itu hari ini.
Sejak kelmarin katanya, Unit Pemantauan Isu Hina Islam Jakim menerima mesej aduan dalam jumlah yang banyak melalui aplikasi WhatsApp berhubung perkara itu.
"Melalui semakan dan carian di Facebook didapati akaun berkenaan sudah tidak dijumpai. Sama ada ditutup atau dinyah aktif oleh pihak Facebook.
"Sementara laman ‘Kiub Batu Itu Berhala’ di Facebook ditukar kepada status kumpulan tertutup khusus untuk ahli kumpulan tersebut sahaja.” jelas kenyataan itu.
Namun, usaha mengesan pemilik akaun tersebut tetap diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan.
Semalam, Sinar Harian melaporkan polis menerima 11 aduan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan mengenai posting menghina Nabi Muhamad SAW oleh pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong.
ARTIKEL BERKAITAN: 11 NGO lapor polis siasat akaun FB hina Nabi Muhamad SAW