KUALA LUMPUR - Rumah yang diduduki orang kurang upaya (OKU) di Jalan Bachang Kampung Kasipillay Sentul di sini terbakar pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Hafizan Hasan berkata, rumah yang terletak di tingkat tiga itu terbakar kira-kira jam 7.53 pagi sewaktu penghuninya keluar menghantar anak ke sekolah.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah bilik di unit bangunan itu terbakar sebelum merebak ke bahagian bumbung bangunan.
"Api berjaya dikawal pada jam 8.17 pagi dan padam sepenuhnya 40 minit kemudian.
"Kebakaran memusnahkan 60 peratus bilik berkeluasan 100 kaki persegi yang dijadikan kediaman pekerja dan simpanan barang komunikasi," katanya.
Katanya, seramai 21 anggota dari BBP Sentul dan BBP Titiwangsa terlibat dalam operasi pemadaman itu.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.