SELAMA - Seorang remaja perempuan melalui detik ngeri apabila dipaksa menjadi pemuas nafsu bapanya sendiri di rumah mereka di Selama sejak enam tahun lalu.
Perlakuan sumbang lelaki berusia 48 tahun itu terbongkar selepas mangsa yang berusia 19 tahun membuat laporan polis, Isnin lepas.
Dalam laporan itu, mangsa mendakwa dinodai lelaki itu beberapa kali sejak dia berusia 14 tahun dan kali terakhir berlaku adalah pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat remaja berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang merupakan pelajar sebuah kolej mendakwa dirogol oleh bapanya ketika berusia 14 tahun hinggalah kini berusia 19 tahun.
"Berdasarkan laporan dibuat, suspek telah ditangkap dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
"Kes ini akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri setelah kertas siasatan dilengkapkan," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik kini berada di bawah jagaan saudara terdekat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.