PELAKON baharu yang sedang meningkat naik, Syifa Melvin, berkongsi mengenai dirinya yang dimasukkan ke hospital kerana positif Influenza A.
Menurut adik kepada pelakon Syatilla Melvin ini menerusi Instagram miliknya, dia sudah beberapa hari mengalami demam dan akhirnya disahkan menghidapi virus tersebut.
"Hi, kita bosan lah duduk hospital..Korang buat apa tu???
"Cuma nak pesan kalau demam on off tu jangan amek mudah ok, macam Syifa dah seminggu demam, pergi klinik amek injection pun tak jalan, pergi hospital amek darah result positive Influenza A," tulisnya.
Malah Syifa juga sempat menitipkan pesanan buat para pengikutnya yang mungkin mengalami masalah sama sepertinya.
"Bahaya kalau tak rawat, kena pergi hospital dan makan ubat antiviral.. Jangan amek mudah ok!" ujarnya.
Sebelum dimasukkan ke hospital, Syifa sempat menghadiri sesi pratonton drama lakonannya #SisCuba di TGV Sunway Pyramid, Khamis lalu bersama para pemenang, peminat dan media.