MELAKA TENGAH - Seorang pengetua madrasah warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajarnya tahun lalu.
Tertuduh Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 36, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun dengan cara mencium mulut dan menggosok kemaluan bagi maksud seksual.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan memasukkan kemaluannya ke dubur mangsa.
Bagi kesalahan pertama dan kedua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Klebang pada 13 dan 28 Julai tahun lalu manakala kesalahan ketiga didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Tanjung Minyak tempat tertuduh bertugas pada Januari lalu.
Tertuduh yang juga bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut 14(a) Akta Kesalahan seksual kanak-kanak 2017 dan membolehkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yee manakala tertuduh diwakili peguam Norfazlinda Alimad dan Faiezad Razali.
Terdahulu, Wai Yee tidak mencadangkan sebarang jaminan bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan RM 20,000 bagi setiap pertuduhan.
Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan serta syarat tambahan.
Tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak dibenarkan mendekati mangsa dan mengarahkan passport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 28 Ogos depan.