DEMI memenuhi minat dan menunjukkan kesetiaan terhadap pasukan bola sepak Kedah, seorang peminat tegar, sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk mewarnakan kenderaannya serta menempah busana tradisional Melayu berwarna hijau kuning.
Mohd Rizal Ismail, 44, yang berasal dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah berkata beliau yang meminati sukan bola sepak sejak berusia 6 tahun, telah lama memasang niat untuk menukar cat kereta dan motosikalnya dengan warna hijau kuning sebagai tanda sokongan padu kepada pasukan itu.
"Tahun lepas, saya cat kereta dengan kos RM1,700 dan selepas itu tukar cat motosikal pula dengan kos RM550. Walaupun perlu keluarkan duit, saya rasa puas hati dan bangga terutamanya apabila orang lihat dan mahu ambil gambar dengan dua kenderaan saya ini.
"Selepas itu, timbul pula niat nak tempah busana tradisional Melayu zaman dahulu dan masa raya baru ni ramai orang mula pakai tengkolok, jadi saya terdetik untuk menempah set busana bersama tengkolok berwarna hijau kuning," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah berkata pemilihan warna tersebut adalah sebagai tanda kesetiaannya terhadap Lang Merah dan busana yang ditempah khas itu akan dipakai setiap kali ke stadium untuk menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Kedah.
"Sebagai seorang kakitangan di JKKN, saya rasa bertanggungjawab untuk kembalikan kegemilangan pemakaian busana tradisional supaya anak-anak muda tidak lupa dan sentiasa tanamkan semangat sayangkan negeri,” katanya yang turut mempunyai lebih 40 helai koleksi jersi pasukan Kedah yang disimpan rapi.
Mohd Rizal berkata, sepanjang 38 tahun menjadi peminat setia pasukan Kedah, banyak pengalaman suka duka dialaminya dan yang paling berharga adalah ketika kali pertama menjejakkan kaki ke stadium bersama Allahyarham ayahnya, Ismail Mat.
"Masa kecil, saya dan ayah akan naik van dari Kuala Kedah untuk ke stadium di Alor Setar dengan bayaran RM1 dan kalau hendak masuk dalam stadium pula, ayah akan dukung sebab takut saya dilanggar oleh penyokong-penyokong lain.
"Saya juga pernah berjalan sejauh lima kilometer untuk ke stadium bagi menonton perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Pahang pada 2017 di Shah Alam tetapi saya tak pernah rasa serik kalau melibatkan bola sepak,” katanya.
Beliau berkata, kenangan paling indah buatnya sebagai penyokong adalah apabila skuad Kedah berjaya merangkul kejuaraan 'double treble' pada 2007 dan 2008 iaitu menang Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bagi dua tahun berturut-turut.
Katanya, sokongannya terhadap pasukan hijau kuning tidak pernah berkurangan walaupun mereka berada pada zaman kejatuhan dan tidak pernah melepaskan peluang untuk menyaksikan pasukan kesayangannya beraksi kecuali terdapat kekangan yang tidak dapat dielakkan.
"Saya bukanlah penyokong yang hadir ke perlawanan akhir sahaja, saya sentiasa ada dan walau jatuh, sakit dan rebah, sokongan saya terhadap Kedah adalah sepanjang zaman. Membujur lalu, melintang patah,” katanya. - Bernama