MELAKA TENGAH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap kerajaan dapat menyegerakan penyelarasan insentif dan elaun khususnya kepada anggota berpangkat rendah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, penyelarasan itu penting bagi memberi kesamarataan seperti mana manfaat yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam lain terutama yang bertugas di Sabah dan di pulau.
Menurutnya, permintaan itu dibuat kerana beberapa elaun yang diperoleh PDRM seperti elaun perumahan, kesengsaraan, Bayaran Insentif Tugas Am (BITA) dan kenaikan gaji tahunan masih ketinggalan.
"Seperti guru dan perkhidmatan kesihatan yang bertugas di pantai timur Sabah, mereka menikmati elaun begitu tinggi sedangkan anak buah saya yang menjaga keselamatan sama-sama susah mendapat hanya 10 peratus daripada gaji mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis (PPKP&PPRP) ke-90 di Hotel Ramada Plaza di sini hari ini.
Abdul Hamid berkata, insentif dan elaun yang diberikan sekarang dilihat tidak adil kepada anggota terlibat dengan kos sara hidup ketika ini.
"Ada beberapa elaun yang wajar dinikmati warga kami ini agak ketinggalan dan tidak adil, malah tidak mengetahui mengapa ia dijadikan seperti itu. Kita akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar inisiatif ini diberikan perhatian," katanya.
Sebelum ini Abdul Hamid memohon kerajaan menaikkan elaun anggota berpangkat rendah seiring dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini terutama di ibu negara.