KUALA LUMPUR - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dijangka akan mengadakan lawatan ke Malaysia Ogos ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana yang memaklumkan perkara itu berkata, pelbagai isu dua hala akan dibincangkan oleh Jokowi dalam lawatan berkenaan.
Iklan
Iklan
"Bapak Presiden (Jokowi) bakal ke Malaysia 8 Ogos ini," katanya ringkas ketika berucap pada majlis sesi ramah mesra bersama media Malaysia di Kedutaan Besar Indonesia di sini hari ini.
Difahamkan lawatan berkenaan sebagai kunjungan balas Jokowi selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengunjungi Indonesia pada Jun tahun lalu.
Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi sulung Dr Mahathir ke negara pertama di Asia Tenggara selepas memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lalu.
Lawatan rasmi Perdana Menteri juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia.
Sementara itu, Jokowi kali terakhir mengunjungi Malaysia adalah pada November 2017 lalu.