Syarat kewarganegaraan, tiada istilah pintu belakang

Iklan
Muhyiddin

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri menjelaskan kunjungan Ahli-Ahli Parlimen DAP ke atas Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu adalah inisiatif bagi mendapatkan penjelasan berhubung syarat dan prosedur permohonan kewarganegaraan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, pertemuan tersebut bukanlah untuk memberikan kemudahan kewarganegaraan kepada mana-mana pihak.

Iklan
Iklan

"Justeru, tiada istilah pintu belakang atau layanan istimewa diberikan kepada mana-mana pihak dalam memberikan status kewarganegaraan seperti didakwa.

"Pertemuan sebegini pernah dijalankan dengan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain," katanya hari ini.

Iklan

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa enam Ahli Parlimen DAP yang menggunakan ‘pintu belakang’ dengan mengadakan pertemuan tertutup bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu melibatkan kewarganegaraan.

Katanya, pemimpin DAP itu sepatutnya menyelesaikan isu-isu kewarganegaraan secara terbuka seperti mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), mesyuarat Kabinet atau sidang Parlimen bagi menolak kemungkinan agenda tersembunyi.

Iklan

Menurutnya, pertemuan itu dianggap merisaukan disebabkan berdasarkan pemerhatian soalan-soalan membabitkan isu kewarganegaraan yang diajukan ahli Parlimen daripada DAP rata-ratanya menyuarakan kehendak mempermudahkan pemberian kewarganegaraan kepada golongan tertentu.

Mengulas lanjut, Kementerian Dalam Negeri menegaskan, taraf kewarganegaraan Malaysia adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan yang tidak ditawarkan dengan sawang-wenangnya.

"Setiap peringkat pemprosesan, pertimbangan dan keputusan dibuat dengan teliti serta menyeluruh berdasarkan kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Semua permohonan kewarganegaraan Malaysia akan dipertimbangkan dan hanya akan diberikan kepada mereka yang berkelayakan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama," katanya.