RANTAU PANJANG - Dua remaja cedera selepas dibelasah orang ramai kerana disyaki mencuri di Pasar Bandar Tasek Raja dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, remaja berusia 18 dan 19 tahun itu dicekup orang ramai selepas dikatakan cuba mencuri di sebuah premis telekomunikasi.
Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sebelum itu berpura-pura bertanyakan harga baju di sebuah kedai menjual pakaian.
"Pekerja kedai pakaian itu kemudian meminta kedua-dua suspek untuk menunggu sekejap sementara dia ke premis sebelah untuk bertanyakan harga. Ini kerana kedua-dua lot kedai di bawah pemilik yang sama," katanya.
Menurutnya, sejurus kembali semula ke premis itu, pembantu yang berusia lingkungan 20-an itu ternampak dua suspek terbabit ingin beredar.
Katanya, kedua-dua suspek itu memberitahu mereka tidak mahu membeli pakaian tersebut.
"Sejurus kedua-dua suspek itu beredar, pekerja kedai terbabit mula menyedari dompetnya lesap,” katanya.
Abdullah berkata, pekerja kedai pakaian itu kemudian cuba mengejar dua remaja berkenaan sebelum terdengar kekecohan di premis telekomunikasi.
Katanya, selepas itu mangsa terdengar orang ramai memberitahu ada dua individu ditangkap kerana cuba mencuri di premis terbabit.
"Sebaik menghampiri rupa-rupanya suspek yang pencuri dompetnya,” katanya.
Abdullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan mencuri dalam bangunan.