KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan rokok dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Subang Jaya, semalam.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, kira-kira jam 9.30 malam sepasukan anggotanya berjaya mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Kapar, Klang.
Katanya, bagaimanapun, kereta tersebut terus memecut laju dan berjaya memboloskan diri di kawasan Bandar Pinggiran Subang USJ, Subang Jaya.
"Pemeriksaan di kawasan tersebut kemudian berjaya mengesan seorang lelaki warga Bangladesh yang sedang membawa satu kotak rokok seludup.
"Soal siasat lelaki Bangladesh itu mengaku menyimpan rokok seludup di rumah sewanya. Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut berjaya menjumpai 308 karton rokok putih dan keretek tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM44,762.10," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rosman berkata, lelaki terbabit berusia 43 tahun kemudian ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mengulas lanjut, pada tahun ini sehingga Julai, PPM Pelabuhan Klang berjaya membuat 20 kes tangkapan yang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 membabitkan rampasan rokok, arak dan kenderaan dengan nilai RM10.66 juta.
Manakala, pada tempoh sama tahun lalu hanya merekodkan enam kes tangkapan dengan rampasan bernilai RM367,225.
Justeru, PPM akan terus pertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi daripada semasa ke semasa dalam usaha menangani aktiviti penyeludupan di perairan negara. Masyarakat diminta untuk menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat tentang perlakuan yang melanggar undang-undang.