MARAN - Tujuh individu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jerik di sini hari ini berikutan tersebarnya imej melampau dan menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook 'Kiub Batu Itu Berhala' beberapa hari lalu.
Dalam posting yang dimuat naik oleh individu yang menggunakan profil nama Wendy Loong tersebut, satu imej seekor babi dipaparkan dengan tujuan menghina baginda menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Diwakili oleh Ketua UMNO Cawangan Cempaka 2, Azizi Mohamed Soffie bersama enam lagi rakannya tampil membuat laporan polis di balai terbabit kira-kira jam 3.30 petang tadi.
"Kami kesal dengan tindakan melampau pemilik profil terbabit yang menggores hati umat Islam.
"Kami tak puas hati dan marah dengan status melampau terbabit," katanya lagi yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Maran.
Katanya, perbuatan itu boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat Islam.
"Pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas untuk memastikan insiden melampau sebegini tidak berulang," tambahnya.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jengka Kekwa 5, Zamri Mat Lazim; Ketua Pemuda UMNO Felda Ulu Jempol, Mohd Iqbal Ibrahim; Ketua Pemuda UMNO Felda Jengka 2, Ahmad Fariddudin Abdul Mubi; wakil belia Felda Jengka 2, Muhammad Asyraf Mustapha; wakil Cawangan UMNO Kuala Sentol, Azman Jantan dan wakil UMNO Cawangan Ulu Jempol Kedua, Alias Ahmad.