PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) menghadapi masalah pembayaran gaji pemain kerana kelewatan penaja lepas menyelesaikan duit tajaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendakwa pihaknya tidak dapat membayar gaji pemain, yang dikatakan tertunggak hampir tiga bulan, kerana wang tajaan yang dijanjikan pada Jun masih belum diterima.
"Melaka diterajui oleh kepimpinan baharu, masalahnya adalah apabila beberapa penaja kita yang lepas belum membuat bayaran dengan sepenuhnya. Kita jangka mereka bayar bulan 6, tak bayar,"expect” bulan 7, tak bayar juga.
"Kita sebagai pengurusan, kita janji sebab expect duit itu datang, tetapi sponsor belum menunaikan janji tepat pada masa. Saya tak cakap mereka tak akan bayar, cuma tak tepat pada masa, itu yang menyukarkan sikit pengurusan sehingga berlaku sebegini," katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan skuad Bawah-18 kebangsaan menentang Selangor United di padang Wisma FAM di sini, hari ini.
Media pada Sabtu lalu melaporkan bahawa pemain Melaka tidak menerima gaji untuk hampir tiga bulan.
Menggulas lanjut, Yusoff berkata, pengurusan tertinggi pasukan sudah mengetahui masalah itu dan yakin langkah sewajarnya akan diambil supaya masalah tersebut tidak memberi kesan terhadap mood pemain dengan saingan Piala Malaysia bakal membuka tirai pada awal Ogos ini.
"Saya rasa Presiden (Adly Zahari) sendiri akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak memberikan kesan kepada semangat pemain menjelang saingan Piala Malaysia nanti.
"Saya harap kita akan ada satu penyelesaian yang baik kepada pasukan ini, kerana saya rasa pasukan ini berpotensi untuk memberi cabaran dalam Piala Malaysia," katanya.
Bagi edisi ke-93 Piala Malaysia yang bakal membuka tirai pada 2 Ogos ini, Melaka diundi dalam Kumpulan D bersama juara 33 kali, Selangor, Felda United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mempunyai peluang yang baik untuk melangkah ke peringkat suku akhir.
Untuk rekod, Melaka menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan keenam dengan 33 mata selepas 22 perlawanan.- Bernama