‘Mama dan baba pergi syurga’

Iklan
Hani Safina terlena di pangkuan neneknya, Fatimah Mohd Yatim. Gambar kanan, Hana Safiyyah begitu rapat dengan Aizat Ahmad yang dipanggil Ayah Chik.

SHAH ALAM -"Mama sejuklah Ayah Chik tapi dah ada selimutkan, lagipun mama dengan baba nak pergi jumpa ‘grandpa’ dekat syurga kan.”

Itu kata-kata daripada Hana Safiyyah Muhammad Hamadi, 6, sebaik mengucup pipi ibunya, Allahyarham Nur Syuhadah Zaini, 31, yang maut dalam kemalangan bersama Muhammad Hamadi Zakaria, 31, di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan dekat sini semalam.

Iklan
Iklan

Adik Allahyarham Nur Syuhadah, Aizat Ahmad Zaini, 29, berkata, dia tersentuh mendengar kata-kata anak saudaranya itu yang disifatkan sebagai sangat kuat dalam berdepan situasi tidak diduga itu.

Menurutnya, ketika tiba di hospital kelmarin untuk proses pengecaman, Hana Safiyyah dan adiknya, Hani Safina, 2, turut serta bersama mereka.

Iklan

"Hana menangis sebaik sahaja menatap muka arwah mama dan babanya tetapi adiknya masih terlalu kecil untuk memahami apa yang sedang berlaku.

"Selepas selesai mandikan jenazah, Hana cium pipi mamanya dan kata mama dia sejuk. Saya beritahu dia, tak apa kita selimutkan (kafankan) mama, nanti mama tak sejuk dah,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Aizat Ahmad berkata, ketika itu Hana Safiyyah tidak menangis lagi dan seolah-olah memahami ibu bapanya telah tiada.

"Tahun lalu Hana pernah kehilangan seorang datuk saudara yang dipanggil ‘grandpa’ dan ketika itu arwah kakak katakan kepadanya bahawa ‘grandpa’ telah meninggal dunia dan akan ke syurga.

"Jadi, saya percaya apabila keadaan sama menimpa mama dan babanya, Hana seperti sudah faham kerana dia sendiri cakap mama dan baba nak pergi syurga jumpa ‘grandpa’.

"Saya dan keluarga juga berkali-kali katakan kepada Hana supaya tidak risau kerana ‘mama pergi, baba teman dan baba pergi, mama pun ada’. Kami bersyukur kerana dalam usia terlalu muda, Hana dapat menghadapi situasi ini dengan berani,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hak penjagaan dua beradik itu, Aizat Ahmad berkata, buat masa ini Hana Safiyyah dan adiknya akan dijaga oleh keluarga mereka.

Dalam kejadian kelmarin, Nur Syuhadah dan suami, Muhammad Hamadi meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara dua lagi mangsa parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah suami isteri nahas motosikal selamat dikebumikan