KUALA LUMPUR - Malaysia mungkin menghadapi fenomena 'Rohingya kedua' berikutan puluhan ribu anak-anak Indonesia yang dilahirkan di negara ini tidak mempunyai dokumen yang sah.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana yang mendedahkan kebimbangan itu berkata, lebih menyedihkan anak-anak itu tidak dapat ke sekolah kerana tiada dokumen pengenalan diri yang membolehkan mereka diterima untuk mendapatkan pendidikan formal.
Selain Sabah dan Sarawak, pihaknya mendapati bilangan anak-anak Indonesia yang dilahirkan tanpa dokumen yang sah adalah tinggi di Semenanjung Malaysia.
"Ya, ramai sekali. Jumlahnya boleh jadi puluhan ribu. Ada anak-anak warga Indonesia yang lahir tanpa sijil kelahiran tidak boleh sekolah. Itu yang kita kasihan. Mereka tidak boleh baca dan menulis,” katanya.
Beliau berkata, Kedutaan Besar Indonesia berharap kerajaan Malaysia membenarkan pembinaan Community Learning Centre (CLC) di Semenanjung Malaysia.
Sebelum ini, katanya, beberapa CLC dibenarkan dibina di Sabah dan Sarawak.
"Kalau di Sabah dan Sarawak, mereka berikan kesempatan kepada kami (pemerintah Indonesia) untuk bina sekolah CLC. Sayangnya, di Semenanjung belum boleh lagi.
"Kita harapkan kerajaan Malaysia beri keizinan untuk bina sekolah itu di Semenanjung,” katanya pada majlis sesi ramah mesra bersama media Malaysia di Kedutaan Besar Indonesia di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.
Ketika ini, terdapat tiga juta rakyat Indonesia berada di Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja pelbagai sektor ekonomi.
Bagaimanapun, jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia tidak dapat ditentukan berikutan tiada statistik jelas berkenaan warga asing itu.
Menyentuh mengenai pembinaan CLC di Semenanjung nanti, Rusdi berkata, semua perbelanjaan pembinaannya ditanggung oleh pemerintah Indonesia.
"Biayanya oleh pemerintah kita. Ini termasuk semua kelengkapan mengajar, kurikulum, buku-bukunya dan gurunya juga dari Indonesia.
"Kita minta syor daripada mereka yang tinggal di ladang mencadangkan tapak CLC. Yang lain semua kita urus,” katanya sambil menjelaskan konsep CLC tidak memerlukan keluasan tanah yang besar. Keluasannya seperti dua bilik sahaja,” katanya.
Beliau menjelaskan, pembinaan CLC selain membantu memberikan pendidikan kepada anak-anak Indonesia, ia juga dapat melonjakkan semangat bekerja ibu bapa mereka.
CLC mula dibina di Sabah dan Sarawak sejak 2006. Sehingga kini, ratusan CLC telah didirikan di negeri-negeri berkenaan.