SHAH ALAM - Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempertahankan dakwaannya bahawa wujud konspirasi terhadap penahanannya berhubung video intim bersama seorang Menteri Kabinet
Memetik laporan sebuah portal, beliau mendakwa penyiasat kes berkenaan memberitahunya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di luar bilik sebuah hotel di Sabah yang didakwa lokasi kejadian itu sudah dipadamkan.
Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, ketika direman lapan hari beliau ditanya soalan yang tiada kaitan dengan video atau penyebaran sebarang bahan haram.
"Saya direman untuk membantu siasatan berdasarkan fakta, bukannya mengesahkan beberapa teori konspirasi lemah.
"Apabila saya tanya mereka mengenai rakaman CCTV di hotel berkenaan sama ada dua individu memasuki bilik sama atau tidak, polis kata rakaman itu sudah dipadamkan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Difahamkan, individu berkenaan dipercayai merujuk kepada bekas Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mendakwa dirinya terlibat dalam rakaman video intim itu pada 11 Mei lalu.
Terdahulu, Haziq Abdullah mengaku dirinya adalah mangsa dalam skandal itu dan mendakwa tidak mengetahui tentang dalang di sebalik rakaman video tersebut.
[ARTIKEL BERKAITAN: Video intim: Haziq bebas dengan jaminan polis]