Sistem baharu ganti MYIMMS elak penipuan

Iklan

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen sedang dalam proses membangunkan Sistem Integrasi Imigresen (IIS) yang baharu bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikesan berlaku manipulasi dan penipuan untuk meluluskan kuota pekerja asing.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sistem IIS itu ketika ini sedang dalam proses perolehan oleh pihaknya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata tender sistem IIS telah mula dibuka kepada vendor pada Mei lepas dan akan ditutup pada Ogos ini.

"Kami akan membuat penilaian terdahulu terhadap vendor-vendor yang berminat dengan tender sistem berkenaan sebelum melancarkan sistem IIS sepenuhnya.

Iklan

"Jika semua berjalan lancar, imigresen akan mengeluarkan surat tawaran kepada vendor yang berjaya pada Januari tahun hadapan," katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata untuk tempoh sepanjang pembinaan sistem IIS ini, MyIMMs akan terus digunakan dengan beberapa penambahbaikan.

Iklan

Beliau berkata selepas sistem IIS mengambil alih MyIMMs, sistem lama itu akan dihentikan 100 peratus dan sistem IIS akan dikendalikan sepenuhnya oleh imigresen.

"Daripada segi senggaraan sistem IIS akan diletakkan di bawah vendor," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pegawai atau anggota imigresen terlibat memanipulasi dan penipuan sistem MyIMMs, Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan mengambil tindakan tataterbib.

"Sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau anggota imigresen yang bersekongkol memanipulasi sistem MyIMMS, mereka akan menerima tindakan yang sewajarnya di bawah peraturan-peraturan tatatertib pegawai awam.

"Selain itu, pihak imigresen telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan manakala siasatan lanjut sedang dibuat," katanya.

Pada 15 Julai lepas, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, merumuskan berlaku manipulasi dan penipuan dalam MyIMMs bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan berhubung pendedahan laporan berkenaan mengenai berlaku manipulasi dan penipuan MyIMMs.

Berdasarkan audit bagi tempoh 2016 hingga 2018, berlaku manipulasi pada sistem itu yang kuota diwujudkan kepada 123 syarikat untuk membawa pekerja asing didapati kelulusan palsu.

Analisis laporan audit turut mendapati 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur, mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara.

Pada 19 Julai lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti pendedahan Laporan Ketua Audit Negara sebelum mengambil tindakan jika terdapat unsur rasuah. - Bernama