SEBAGAI seorang Mukmin yang sejati, istighfar dan selawat seharusnya menjadi rutin kita pada setiap hari.
Istighfar dan berselawat sebenarnya elok diamalkan pada awal permulaan hari hinggalah ke hujung hari berkenaan.
Bilakah waktu terbaik untuk beristighfar dan berselawat?
Seeloknya ia dilakukan selepas solat Subuh hingga terbit matahari dan selepas asar hingga tenggelamnya matahari.
Pada masa sama, jangan lepaskan peluang untuk membaca penghulu segala istighfar yang terkandung dalam zikir al-Mathurat pada setiap pagi dan petang.
Ia sebagaimana disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW dengan lafaz:"Ya ALLAH, Engkau ialah Tuhanku, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau menjadikan aku dan aku ialah hamba-Mu. Aku berada di atas perjanjian-Mu sedapat yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang aku buat. Aku mengakui nikmat-Mu kepada-Ku dan aku mengakui dosaku. Oleh kerana itu, ampunilah aku. Sesungguhnya, tiada yang mengampuni dosa melainkan Engkau."
Sabda Rasulullah SAW:"Sesiapa yang mengucapkan pada siang hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penghuni syurga dan sesiapa yang mengucapkan pada waktu malam dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh, maka dia termasuk penghuni syurga." (Sahih Riwayat al-Bukhari)
Subhanallah, begitu besarnya ganjaran yang dijanjikan ALLAH SWT kepada orang yang membaca istighfar berkenaan.
Paling tidak pun, istighfar dan berselawatlah sekurang-kurangnya 100 kali sehari kerana melalui fadilatnya, ALLAH SWT akan memberi keampunan, dimurahkan rezeki, dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka dan diberi jalan keluar daripada sebarang kesusahan.
Gunakanlah lidah yang dikurniakan ALLAH dengan sebaik-baiknya dengan memuji kebesaran-Nya dan memohon keampunan-Nya.
Sabda Rasulullah SAW:"Sesiapa yang berselawat ke atasku satu kali, ALLAH akan berselawat kepadanya 10 kali." (Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
Justeru, mari kita sama-sama merebut ganjaran ALLAH itu.
Mudah-mudahan dengan selawat dan istighfar itu, ALLAH akan mempermudahkan segala urusan kita.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)