Bagai berada dalam alam sebenar

Iklan
HUTAN lampu resonasi yang diilhamkan dengan gaya One Stroke, Azalea.

BAGAIKAN di alam fantasi, penuh dengan simbahan cahaya berwarna-warni dengan seni digital yang cukup hebat. Meskipun hanya ilusi tiga dimensi, pancuran air terjun yang dikelilingi bunga-bunga yang penuh pesona di sebalik dinding itu seolah-olah satu gambaran sebenar.

Ia menjadi bertambah nostalgik dengan instrumen bunyi-bunyian seperti deruan air yang menghentam batu-batan. Pengunjung menjadi bertambah teruja apabila hadir ombak kecil yang memenuhi ruang.

Iklan
Iklan

Selain itu, terdapat juga pemandangan-pemandangan yang berbeza dengan sentuhan yang lebih ‘mencengkam’. Antaranya seperti sawah padi, hamparan bunga, panel abstrak dan ruang angkasa.

Sebenarnya, karya digital inovatif itu merupakan sebuah muzium digital pertama di dunia yang terletak di Tokyo, Jepun (Mori Building Muzium Seni Digital: teamLab Borderless).

Iklan

Berdasarkan fakta, Mori Building Muzium Seni Digital: teamLab Borderless merupakan sebuah muzium yang dikendalikan secara bersama sebuah pemaju landskap bandar yang terkemuka, Mori Building Co. Ltd.

Sementara teamLab ialah sebuah kolektif seni digital yang terkemuka di dunia. Mereka baru meraikan ulang tahunnya yang pertama pada 21 Jun lalu.

Iklan

Bayangkan, sejak lima bulan beroperasi, pengunjungnya sudah mencecah lebih sejuta orang sekali gus menandingi muzium terkemuka lain yang ada di negara Matahari Terbit itu.

Keunikan karya seni muzium berkenaan menarik kehadiran pengunjung ke-sejuta, Nikky Parker dan keluarganya.

Kehadiran warga Australia itu tidak sia-sia apabila mereka telah dihadiahkan passport borderless. Dengan pasport tersebut, Nikky dan keluarganya memiliki kelebihan untuk mengakses tanpa had ke muzium terbabit secara percuma sepanjang hidup mereka.

Menurut Nikky, beliau mengetahui mengenai muzium itu melalui SNS dan cuba mengalami sendiri dunia yang indah yang belum pernah dilihat sebelum ini.

"Jadi saya berkunjung ke sini dengan tunang saya dan ibu bapa saya. Saya juga mendengar bahawa karya seni di situ berubah mengikut musim, jadi saya mahu menggunakan passport borderless itu untuk berkunjung berkali-kali!,” katanya dengan nada penuh ceria.

Rancak

Sukar untuk menolak bahawa kesemua karya yang dipamerkan begitu berprestij. Dengan keluasan 10,000 meter persegi lantai labyrinthine, seni digital telah dipancarkan memenuhi segenap ruang sekali gus menterjemahkan konsep tanpa sempadan.

Pameran yang diketengahkan berasaskan pengalaman dan interaksi dilakukan secara fizikal dengan pelawat.

Konsep itu membolehkan pengunjung ‘berkomunikasi’ dengan satu sama lain dalam cara paling unik, bagi meninggalkan mereka satu perasaan penuh kekaguman dan tanggapan emosi yang mendalam.

Sejak pelancaran muzium berkenaan, stesen kereta api paling dekat iaitu Stesen Aomi di Talian Yurikamome telah menerima 50 peratus lebih ramai pelawat.

Sebuah pusat beli-belah, VenusFort yang terletak bersebelahan pula melaporkan, kunjungan pengunjung meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

Bukan sahaja sebagai sebuah destinasi utama bagi Tokyo, muzium itu nampaknya telah merancakkan kawasan berdekatan dengannya.

Jutaan pengunjung

Berdasarkan statistik, seramai 2.3 juta pengunjung direkodkan mengunjungi muzium itu pada tahun pertama yang mana 50 peratus daripada jumlah itu adalah dari lebih 160 negara seluruh dunia.

Jumlah pelawat terbesar datang dari Amerika Syarikat diikuti Australia dan China sekali gus membuktikan muzium itu mampu menarik pengunjung dari jauh, bukan hanya dari negara berdekatan sahaja.

Menurut satu soal selidik yang dijalankan oleh muzium itu, hampir 50 peratus daripada pengunjung luar negara datang ke Jepun untuk tujuan utama iaitu hanya mahu melawat muzium itu.

Jumlah 2.3 juta pelawat itu menyamai rekod kehadiran pengunjung di muzium terkemuka yang lain termasuk Muzium Nasional Tokyo dan Muzium Seni Kontemporari Abad ke-21, Kanazawa.

Apabila muzium itu dibuka, tiket tempahan awal sudah habis dijual untuk tempoh tiga bulan dan dikatakan lebih 100 pengunjung sudah berbaris sebelum waktu pembukaan lagi kerana tidak mahu ketinggalan.

Pencapaian

Menurut statistik yang dikumpul dari 25 Oktober sehingga 2 November tahun lalu yang melibatkan 1,237 responden, pengunjung muzium terdiri daripada golongan muda, warga emas, keluarga dan satu daripada tiga pelawat adalah dari luar negara.

Muzium teamLab Borderless menerima Anugerah Untuk Pencapaian Cemerlang daripada Themed Entertainment Association pada 13 November lalu.

Di Jepun, pengiktirafan itu meletakkan muzium berkenaan setanding dengan Tokyo Disneysea dan Universal Studios Jepun yang menerima anugerah sama. Untuk makluman, Themed Entertainment Association merupakan sebuah organisasi yang tidak mencari keuntungan yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Konsep yang dibawa teamLab Borderless membawa pengunjung mengembara, meneroka, menemui dalam satu dunia tanpa sempadan selain karya-karya seni bergerak keluar dari bilik, berkomunikasi dengan karya lain, mempengaruhi dan kadang-kadang bercampur dengan satu sama lain.