Mayat suami isteri ditemui dalam keadaan berlumuran darah

Iklan
Lokasi kejadian di mana mayat kedua-dua suami isteri berkenaan ditemui. Gambar kecil: Mohd Fauzi

NILAI - Mayat suami isteri yang dipercayai mati dibunuh di rumah mereka di Taman Desa Melati di sini, malam tadi ditemui di bahagian dapur dan bilik belakang dalam keadaan berlumuran darah.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Mohd Fauzi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan dari jiran mangsa jam 9.23 malam mengenai berlaku kebakaran sebelum dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai serta Seremban 2 terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran di rumah teres dua tingkat berkenaan.

"Sebaik sampai didapati kebakaran berlaku di bahagian dapur dan ketika operasi memadam kebakaran dilakukan, seorang mangsa lelaki ditemui di bahagian dapur dengan kesan darah di lantai.

Iklan

"Seorang lagi mangsa wanita ditemui di dalam bilik belakang bersebelahan dapur. Namun tiada kesan terbakar pada kedua-dua mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Mohd Fauzi berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan kemusnahan hanya melibatkan 40 peratus pada bahagian dapur.

Iklan

Menurutnya, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut berhubung kematian mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.