RM3 juta aset pengedar dadah disita

Iklan
Mohamad ketika membuat pemeriksaan perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Negeri Sembilan di sini hari ini.

SEREMBAN - Sebanyak RM3 juta nilai aset pengedar dadah disita polis Negeri Sembilan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu RM1.9 juta melibatkan sitaan rumah, kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun dan barang kemas.

Iklan
Iklan

"Daripada 4,117 individu yang ditangkap berkaitan dadah, 397 daripadanya adalah pengedar dadah manakala 1,062 individu memiliki dadah.

"Sebanyak 3,659 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dengan jumlah pertuduhan sebanyak 2,981 iaitu bersamaan dengan 79 peratus. Manakala kadar penyelesaian kes adalah sebanyak 3,072 iaitu 84 peratus telah melepasi indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan 65 peratus,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Negeri Sembilan di sini hari ini.

Iklan

Selain itu katanya, hasil operasi terancang Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan (JSJN) dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, pihaknya berjaya menangkap seorang ketua sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Selepas itu, tiga wanita dan seorang lelaki pula berjaya diberkas pada Mac dan bulan ini dengan nilai rampasan harta dan sitaan melebihi RM1 juta.

Iklan

"Di samping kejayaan ini, saya juga mahu tegaskan kepada anggota polis agar tidak terlibat dengan kegiatan tidak bermoral terutama kes penyalahgunaan dadah, rasuah dan kes lain yang boleh jejaskan imej Polis Diraja Malaysia.

"Mengikut perangkaan, tangkapan anggota yang terlibat dengan dadah juga meningkat iaitu 15 kes direkodkan dari Januari hingga Jun berbanding lapan kes tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya sesekali tidak akan berkompromi dengan anggota yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil.

Sementara itu katanya, secara keseluruhan, kadar indeks jenayah Negeri Sembilan bagi tempoh sama menunjukkan penurunan 6.13 peratus iaitu 1,669 kes berbanding 1,778 kes tahun lalu.