Hannah dedah pertemuan DAP dengan Muhyiddin

Iklan
Hannah Yeoh

SHAH ALAM - Naib Ketua Wanita DAP, Hannah Yeoh menjelaskan pertemuan beberapa pimpinan DAP bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini antara usaha bagi menjayakan manifesto Pakatan Harapan (PH) melibatkan isu kewarganegaraan.

Beliau berkata, pertemuan itu dibuat susulan daripada mesyuarat bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi pertemuan itu, Muhyiddin juga memberikan maklum balas positif dan turut mengemas kini usaha yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Bagi DAP, isu kewarganegaraan adalah isu rakyat yang boleh memberikan implikasi besar terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan institusi keluarga secara amnya.

Iklan

"Ia adalah masalah besar yang tertangguh sekian lama sejak berdekad oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan turut memberi kesan negatif kepada ekonomi serta sosial negara khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, sekeping foto tular di media sosial memaparkan lima pemimpin DAP sedang menunggu sebelum mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

Iklan

Selain Hannah, individu lain yang turut kelihatan dalam foto tersebut ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.

Susulan penularan itu, Pemuda UMNO turut mendesak Muhyiddin mendedahkan perkara dibincang dan dipersetujui dalam pertemuan tertutup membabitkan enam pemimpin DAP itu.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/39495/BERITA/Nasional/Muhyiddin-perlu-dedah-pertemuan-tertutup-dengan-pemimpin-DAP

Mengulas mengenai desakan itu, Hannah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Pemuda UMNO lebih memilih untuk menjadi rasis dan anti bukan Melayu dengan meminggirkan kesungguhan politik ditunjukkan oleh pemimpin PH bagi menyelesaikan isu yang melangkaui batas bangsa dan agama.

"DAP sejak sekian lama memperjuangkan isu kewarganegaraan yang berkait rapat dengan isu kekeluargaan tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah, Sarawak atau orang asli.

"UMNO sebenarnya tidak perlu takut atau bimbang dengan bayang-bayang yang tidak pernah wujud. Sedangkan Asyraf dan Pemuda UMNO melihat semua isu hanya dari kaca mata perkauman semata-mata," katanya.