SHAH ALAM - Bagi peminat buku, Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf yang akan bermula esok pastinya peluang baik untuk berkunjung ke sini bagi mendapatkan buku yang diperlukan dengan harga jauh lebih murah dengan pelbagai tawaran menarik.
Penolong Pengurus Besar Jualan Kumpulan Buku Karangkraf, Roziana Omar berkata, selain tawaran diskaun sehingga 70 peratus, pelbagai aktiviti menarik sepanjang jualan gudang yang berlangsung sehingga 4 Ogos depan turut diadakan.
"Pengunjung yang pernah datang pastinya tahu kemudahan yang kami sediakan sepanjang acara ini di mana ruang pameran yang berhawa dingin pastinya memberi keselesaan kepada mereka yang hadir bersama keluarga atau rakan-rakan.
"Bukan sahaja selesa, ruang parkir kereta juga disediakan dan tempat pembayaran juga banyak agar memudahkan pengunjung melakukan pembayaran dengan aman tanpa menunggu lama.
"Bagi yang ingin solat juga tidak perlu risau kerana, di Karangkraf ada surau yang besar dan selesa untuk digunakan di samping gerai menjual makanan juga terdapat di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas kelainan jualan gudang kali ini, Roziana berkata, kali ini pengunjung yang mahu melakukan wakaf boleh berbuat demikian terutama mewakafkan buku untuk sekolah atau rumah anak yatim.
"Kita telah sediakan pakej wakaf untuk dihantar ke sekolah dengan pilihan harga dan buku yang disediakan. Ada yang RM50, RM70 dan RM100.
"Wakaf al-Quran juga boleh dibuat dengan pilihan pelbagai jenis al-Quran terbitan Karya Bestari yang disediakan di jualan gudang ini,” katanya.
Tambahnya, terdapat tiga lokasi disediakan untuk setiap ruang pameran mengikut jenis bahan bacaan yang disusun bagi memudahkan pengunjung mencari buku yang diingini.
"Kita ada ruang pameran di Studio F yang menempatkan novel dan al-Quran dengan harga dan diskaun menarik. Manakala satu lagi bahagian di Auditorium yang menempatkan al-Quran, buku kanak-kanak, akademik dan merchandise.
"Satu lagi kawasan pameran adalah di Lobi Karangkraf, di mana pengunjung boleh mendapatkan bahan bacaan seperti buku Islamik, alat tulis, majalah resipi dan kraf,” jelasnya.
INFO
Lokasi: Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam
Tarikh: 26-4 Ogos 2019
Waktu: 9 pagi hingga 7 malam
Kemudahan: Ruang parkir, ruang solat, tempat pembayaran yang banyak dan bangunan berhawa dingin.