DEMI memberi aksi terbaik dan tampak semulajadi, pelakon Zul Ariffin sanggup membiarkan dirinya 'dibelasah' oleh Remy Ishak dan peninju profesional seni bela diri campuran (mixed martial art atau MMA) James 'Sledgehammer' Mcsweeney dalam filem terbaharu lakonannya, Sangkar.
Jelas pelakon berusia 33 tahun itu, sebelum penggambaran bermula dia terlebih dahulu menjalani latihan bersama peninju MMA di Thailand dan perbincangan dengan Remy serta Mcsweeney di lokasi penggambaran.
"Memandangkan ini adalah filem aksi, ramai peninju yang terlibat, jadi saya fikir ada beberapa babak perlu dibuat betul-betul.
"Contohnya melibatkan babak ditumbuk di muka. Saya beritahu Remy, daripada buat banyak kali babak itu, baik dia tumbuk saya betul-betul. Barulah nampak real.
"Begitu juga babak pertarungan dengan Mcsweeney, saya benarkan dia belasah betul-betul. Tapi tidaklah sama dengan kekuatannya ketika bertarungan dalam pertandingan.
"Cuma bila ditumbuk, adalah rasa pening-pening lalat sikit.
"Kecederaan parah itu tidaklah teruk, cuma bila dah campur dengan kecederaan lama daripada penggambaran filem aksi sebelum ini, memberi cabaran sedikit.
"Bagi saya bila buat filem aksi, kita sudah jangka kecederaan begini dan selagi tak disorong ke hospital, tidaklah parah mana," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut mengenai filem ini, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin memberitahu, idea asal Sangkar adalah daripadanya dan seorang rakan, Saiful Reza.
Katanya, mereka sama-sama adalah peminat MMA dan suka menonton filem.
"Saya kongsi idea ini dengan pihak penerbit dan Alhamdulillah mereka menyukai idea kami. Ia kemudiannya dikembangkan dengan skrip oleh Mira Mustaffa dan seterusnya diarahkan oleh Khabir Bhatia.
"Bagaimanapun Sangkar bukan hanya berkisar tentang dunia MMA sahaja, tapi ia ada lebih daripada itu.
"Pendek kata ia bukan untuk tontonan kaum lelaki sahaja, tapi semua boleh menonton filem ini nanti," jelasnya.
Sangkar merupakan filem MMA pertama dan menyaksikan gabungan empat syarikat produksi iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.
Selain Zul dan Remy, filem ini juga turut menampilkan barisan pelakon hebat lain tanah air seperti Mira Filzah, Adam Mika, Ray, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan Rashid Salleh yang juga merupakan Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA).
Bukan itu sahaja, Sangkar turut menyaksikan kemunculan beberapa atlet profesional MMA sebenar dari ONE Championship iaitu Saiful Merican, Peter Davis dan Jihin Radzuan.Tak berkira
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan mempromosikan hasil kerja menerusi media sosial, Zul berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.
Ujar pelakon yang mula popular selepas membintangi drama Rindu Awak 200% itu, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang pelakon untuk menarik peminat menonton naskhah lakonannya.
"Bagi saya bila kita bertolak ansur, syarikat produksi dan stesen TV pun seronok nak panggil kita lagi. Saya memang tidak ada masalah untuk minta tolong promosi.
"Lagipun sekarang dah ada platform media sosial yang memudahkan kita untuk promosikan naskhah lakonan kita. Bila drama dan filem dapat perhatian, kita juga yang rasa puas hati,” katanya.