Potret Almarhum Tuanku Ja’afar dapat sentuhan semula

Iklan
Katy menyerahkan potret yang mendapat sentuhannya semula kepada Tuan Ibrahim

SEREMBAN – Potret Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman bersama Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin berusia hampir 20 tahun mendapat sentuhan semula daripada pelukis asalnya yang berasal dari negara China.

Semuanya bermula apabila pelukis profesional, Katy Yu Gou Qin, 62, menghadiri pameran lukisan yang diadakan di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar di Jalan Taman Bunga di sini, Mac lalu.

Iklan
Iklan

Katy yang sudah 17 tahun menetap di Malaysia berkata, dia tidak menyangka potret yang dilukisnya pada tahun 2002 itu dapat dilihat semula meskipun dalam keadaan pudar.

"Jadi, saya minta kebenaran dari pihak galeri untuk buat sentuhan semula supaya potret itu lebih berseri untuk ditatap pengunjung. Potret ini sebenarnya saya siapkan dalam tempoh sebulan selepas diminta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Sembilan

Iklan

"Mereka mahu hadiahkan kepada Tuanku Ja'afar sempena ulang tahun baginda yang ke-80 tahun pada waktu itu,” katanya selepas majlis penyerahan kembali potret itu di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar di sini hari ini.

Menurutnya yang juga peserta program Malaysia Rumah Keduaku, potret itu diserahkan kepada Tuanku Ja'afar sebelum ditempatkan di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar pada tahun tahun 2016.

Iklan

"Sepanjang lebih 30 tahun menjadi pelukis, saya sudah melukis ratusan potret termasuk beberapa orang kenamaan dari negara ini.

"Jika diberi peluang, saya berhasrat melukis potret Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Galeri Diraja Tuanku Ja'afar, Datuk Tuan Ibrahim Tengku Abdullah, berkata, potret itu adalah satu bentuk warisan yang perlu dikekalkan dan dihayati generasi hari ini dan akan datang.

Tuanku Jaafar ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada April 1967 sehingga Disember 2008, seterusnya Yang di-Pertuan Agong mulai 1994 hingga 1999 sebelum mangkat pada 27 Disember 2008.