Anak itu hak siapa

Iklan

BEBERAPA minggu ini notification awal pagi di media sosial banyak berkaitan penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.

Sungguh menyedihkan membaca laporan perbuatan yang tidak dapat diterima akal.

Iklan
Iklan

Antaranya ‘remaja perempuan didera ibu, abang’ dan terkini ‘kucing jumpa bayi di kawasan semak’.

Belum pun azan Subuh, kita sudah dikejutkan dengan berita yang menyayat hati dan mungkin tidak berkesudahan.

Iklan

Membelek media sosial ramai yang memberi komen. Kadangkala kita juga bersetuju dengan komen yang belum tentu relevan dalam keadaan dan kisah sebenar subjek itu.

Apa pun hakikatnya penderaan bukan jalan terakhir penyelesaian masalah.

Iklan

Islam sudah menggariskan empat hak kanak-kanak yang perlu dilaksanakan pemegang amanah (ibu bapa dan penjaga).

Empat hak itu adalah membesarkan zuriat dengan mentauhidkan ALLAH SWT, wajib menyediakan suasana aman sesuai untuk sebuah institusi keluarga supaya wujud sifat sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) serta rahmah (belas ihsan) dalam keluarga.

Empat perkara itu jugalah yang menjadi tunjang kepada bahagia, adab dan kemurnian sikap anak-anak pada masa depan.

Selain itu, anak-anak juga perlu mendapat hak pengiktirafan nasab dan keturunan selain perlindungan untuk mereka terus hidup.

Jika garis panduan ini diguna pakai dalam keluarga atau konteks undang-undang maka tidak akan berlaku penderaan atau pengabaian anak-anak.

Laporan kes penderaan kanak-kanak dari tahun 2013 hingga 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan peningkatan.

Jumlah yang dilaporkan pada 2013 ialah 4,119 meningkat kepada 5,531 tahun 2017 dan daripada laporan itu kanak-kanak perempuan lebih ramai menjadi mangsa.

Jenis penderaan yang dicatatkan pula ialah penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian pengawasan dan pengabaian hak asasi.

Tidak tercapai akal apabila ada ‘haruan makan anak’, ibu sanggup meninggalkan anak kerana mengikut teman lelaki dan pembuangan bayi di masjid, tepi hutan dan kawasan sampah.

JKM turut merekodkan sebanyak 577 kes pembuangan bayi antara Januari 2014 hingga Disember 2018 hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebanyak 103 kes buang bayi atau janin pada tahun 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018).

Bagaimana kita mahu menolak isu itu sedangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memaklumkan kes pembuangan bayi di Malaysia serius dan perlu ditangani segera.

Tergamaknya mereka melakukan semua jenayah itu sedangkan anak adalah amanah besar daripada ALLAH yang sudah ada panduan khusus.

Jadi apakah solusinya? Apakah yang perlu kita lakukan? Tidak cukup jika hanya berkata-kata di ruangan komen media sosial. Tidak guna juga berbalas kata di medium itu.

Kita juga yakin pendera pasti menerima hukuman tetapi terfikirkah kita ke mana mereka pergi? Adakah mereka benar-benar mendapat hak yang sepatutnya selepas pendera menerima hukuman?

Cara terbaik untuk kita membantu kanak-kanak ini adalah dengan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

JKM turut membuka peluang untuk menjadi sukarelawan dan pasti ini peluang terbaik untuk bersama membantu menangani jenayah itu.Beberapa agensi seperti Jabatan Agama Islam di seluruh negeri dilihat berusaha menyediakan modul untuk menyejahterakan keluarga melalui kursus perkahwinan dan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut memainkan peranan menyediakan sesi kaunseling kepada mereka yang memerlukan.

Tidak cukup dengan itu, JKM melalui program kekeluargaan turut membantu menangani perkara berkenaan.

Bagaimanapun, ada benarnya komen netizen bahawa pendatang tanpa izin adalah antara faktor peningkatan pembuangan bayi.

Beberapa laporan akhbar sebelum ini turut membuktikan melalui pencarian keluarga bayi dalam kalangan warga asing termasuk Indonesia dan Myanmar.

Justeru, apakah tindakan kerajaan bagi menangani perkara ini? Tidak cukup jika hanya menyelamatkan bayi tanpa menyelesaikan masalah utama.