BUTTERWORTH - Dua lelaki ditahan kerana memandu dengan paras alkohol dalam tubuh mereka melebihi tahap dibenarkan ketika operasi khas yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), malam tadi.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Jalan Permatang Pauh, Mak Mandin di sini, jam 10 malam hingga 5 pagi hari ini sebelum menahan dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun berkenaan.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan mendapati dua lelaki yang ditahan itu merekodkan bacaan ujian"evidential breath analyser” (EBA) masing-masing 181mg/100ml dan 154mg/100ml. Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Noorzainy berkata, polis turut menahan empat mat rempit berusia 20 hingga 23 tahun yang sedang berlumba haram dalam operasi Bersepadu Khas Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini yang bermula dari 10 malam hingga 7 pagi ini.
"Kesemua tangkapan tersebut ditahan atas kesalahan berlumba haram dan melakukan aksi menunduk badan, zig zag dan meniarap atas motosikal. Ia bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas dan proaktif akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan lumba haram di daerah SPU dan orang ramai dinasihatkan agar memantau aktiviti anak masing-masing agar tidak terlibat dalam aktiviti itu.- Bernama
Artikel Berkaitan